82 vendor tempatan diiktiraf, perkukuh ekosistem OGSE Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Seramai 82 vendor tempatan menerima penghargaan atas sumbangan dan kecemerlangan mereka dalam memperkukuh ekosistem Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sarawak sepanjang tahun lalu.

Majlis Penghargaan Vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sarawak 2026 anjuran Petronas itu dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di sebuah hotel di sini, hari ini.

Berucap pada majlis itu, Awang Tengah berkata pencapaian industri OGSE Sarawak membuktikan keupayaan syarikat tempatan yang semakin berkembang hasil peningkatan kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti dan komitmen berterusan terhadap kecemerlangan.

AMANAT…Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika Majlis Penghargaan Vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sarawak 2026 anjuran Petronas hari ini. Foto Norman B

Beliau berkata, dari 2014 hingga Mac 2026, kontrak bernilai RM49.31 bilion telah dianugerahkan kepada vendor Sarawak, dengan kira-kira 60 peratus daripadanya dilaksanakan di negeri itu.

“Pencapaian ini membuktikan syarikat tempatan bukan sahaja semakin berdaya saing, malah mampu memenuhi keperluan industri tenaga yang sentiasa berkembang serta menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak dan negara,” katanya.

Beliau berkata, pada suku pertama 2026 sahaja, seramai 267 vendor Sarawak berjaya memperoleh kontrak bernilai RM1.57 bilion, mewakili lebih 32 peratus daripada keseluruhan kontrak yang dianugerahkan di Sarawak.

Menurut beliau, sehingga suku keempat 2025, pelaburan huluan terkumpul melebihi RM310 bilion, sekali gus mencerminkan peningkatan kredibiliti dan daya saing syarikat berpangkalan di Sarawak dalam menyokong aktiviti industri minyak dan gas yang semakin kompleks.

Awang Tengah berkata, perubahan landskap tenaga dunia memerlukan Sarawak membina ekosistem yang lebih tangkas, inovatif dan bersedia menghadapi masa depan, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

PENYAMPAIAN sijil penghargaan kepada wakil Awatra Sdn. Bhd. atas kecemerlangan syarikat dalam kategori pembekalan tenaga kerja sempena Majlis Penghargaan Vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sarawak 2026 di Kuching, hari ini. Foto Norman B

Jelasnya, Sarawak kini berada pada kedudukan strategik sebagai negeri berasaskan tenaga hibrid dengan memanfaatkan sumber gas asli, tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen bagi menyokong agenda peralihan tenaga rendah karbon.

“Sarawak bukan sahaja mahu menjadi pengeluar tenaga yang kukuh, malah berhasrat melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Justeru, vendor OGSE perlu terus memperkukuh keupayaan, menguasai teknologi baharu serta memanfaatkan peluang yang wujud dalam peralihan tenaga global,” katanya.

Tambahnya, pembangunan Grid Borneo, Grid Kuasa ASEAN dan eksport elektrik rentas sempadan akan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk menawarkan perkhidmatan berteknologi tinggi dan bernilai tambah.

WAKIL 3A Global Integrated Engineering Sdn. Bhd. menerima sijil penghargaan bagi kategori pembekalan bahan bolting pada Majlis Penghargaan Vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sarawak 2026 di Kuching, hari ini. Foto Norman B

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak, Petronas, Petros, Petroleum Arrangement Contractors (PAC), persatuan industri dan syarikat tempatan perlu terus diperkukuhkan bagi mewujudkan ekosistem industri yang mampan serta berdaya tahan.

Menurut beliau, Petros sebagai syarikat tenaga milik kerajaan negeri turut memainkan peranan penting bersama Petronas dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang melibatkan empat hab strategik iaitu Kuching, Bintulu, Miri dan Samalaju.

Beliau berkata, sinergi antara kedua-dua syarikat itu akan terus memperkukuh keselamatan tenaga serantau, di samping membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian nilai industri minyak dan gas di peringkat serantau serta global.

Oleh Norman B