KUCHING: Mayat lelaki yang hilang di Sungai Tabuan kawasan Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya ditemui pada jam 12.20 tengah hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Bomba berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Stepanus Selat, 22, berasal dari Indonesia ditemui pada jarak tiga meter dari lokasi mangsa terjatuh ke dalam sungai pagi tadi.
Mangsa bersama rakannya dikatakan menjala ikan di situ tetapi terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Bomba yang menerima panggilan dikerah ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.
Jurucakap Bomba berkata, anggotanya dari Tabuan Jaya telah dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus mendapat panggilan daripada pengadu, Sigi Kaya.
“Pengadu khuatir mangsa terjatuh ke dalam sungai semasa mereka menjala ikan dan mencari mangsa di dalam sungai tetapi tidak menjumpai.
“Selepas beberapa jam mencari, pengadu menghubungi pihak polis untuk ke lokasi kejadian sebelum polis meminta pengadu menghubungi Bomba untuk bantuan.
“Komander Operasi melaporkan operasi pencarian dimulakan pada 7.30 pagi dan pencarian dijalankan dengan menyusuri sungai menggunakan bot fiber di sekitar lokasi mangsa dikhuatiri jatuh ke dalam sungai,” katanya.
Selepas dijumpai, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Oleh NICKELYSON LAKUN