
MIRI: Mayat seorang lelaki ditemui tersangkut di celah batu di kawasan Jalan Pantai Marina, di belakang bangunan Majlis Bandaraya Miri (MBM), petang semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat tersebut.
“Setakat ini, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di talian 085-433400 atau Ketua Balai Polis Pusat Miri, Inspektor Nixon Malang di talian 016-8865949.
Dalam masa sama, Mohd Farhan turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan isu-isu sensitif di media sosial yang boleh menimbulkan kebimbangan awam.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat menghargai segala maklumat dan kerjasama daripada masyarakat dalam membantu siasatan kes ini,” tambahnya.
Oleh Liong Chai Ling