
MAYAT seorang lelaki ditemui di dalam parit di tepi Jalan Puncak Borneo, Kampung Sinar Baru, sebelum dibawa keluar oleh anggota BBP Siburan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
SIBURAN: Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bertindak membantu mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemui di dalam parit di tepi jalan di Kampung Sinar Baru, Jalan Puncak Borneo, petang ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung insiden itu diterima pada 2.07 petang sebelum sepasukan lapan anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera EMRS digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 20 kilometer.
Pasukan operasi tiba di lokasi pada 2.28 petang dan mendapati seorang mangsa lelaki berada di dalam parit dipercayai terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum tercampak ke kawasan berkenaan.
Operasi mengangkat mangsa dijalankan dan disahkan selesai pada 2.50 petang selepas keadaan dikawal pada 2.45 petang.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut
Turut berada di lokasi ialah enam anggota polis yang membantu pengurusan keadaan.
Selepas operasi selesai dan keadaan disahkan selamat, pasukan bomba berundur balik ke balai.
Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Rafiq Hussain.