KUALA LUMPUR: Mayat lelaki yang ditemukan dalam sebuah bagasi di Cheras Perdana, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang di sini semalam, disyaki warga asing susulan tiada tanda suntikan BCG pada mangsa.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata hasil bedah siasat yang dijalankan pakar patologi Hospital Serdang hari ini turut mendapati tiada kecederaan lain pada badan mangsa kecuali patah di bahagian hidung.
“Mangsa dipercayai berusia lingkungan 20-an dengan ketinggian 155 sentimeter dan berat 45 kilogram, berpakaian baju dan seluar pendek floral warna hijau serta cincin perak di jari kanan.
“Mayat juga dalam keadaan lengkap anggota badan dan punca kematian tidak dapat dipastikan serta menunggu keputusan makmal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta hadir membuat pengecaman berdasarkan barang bukti yang ditemui bersama mangsa di Hospital Sedang atau menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900.
Semalam, media melaporkan mayat lelaki tanpa pengenalan diri ditemukan dalam bagasi oleh orang awam kira-kira 11.45 pagi dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.– BERNAMA