KUCHING: Mayat seorang lelaki berumur 47 tahun yang berasal dari Pekan Baru Batu Kawa ditemui dalam sebuah kereta di kawasan ladang FELCRA, Kampung Endap, Kota Samarahan.
Jurucakap polis berkata, mayat ditemui pada jam 12.05 petang semalam selepas menerima panggilan daripada seorang pengurus ladang di situ.
Berikutan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat di dalam kereta.
Kejadian itu disedari apabila salah seorang pekerja di kawasan itu ternampak sebuah kereta jenis Perodua Kancil berwarna hitam diletakkan di kawasan berkenaan.
Hasil siasatan dan pemeriksaan yang dijalankan ke atas mayat mendapati tiada sebarang kesan kecederaan ditemui.
Beliau berkata siasatan di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang tanda berlaku pergelutan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan masih dalam siaaatan.
Oleh Connie Chieng