Masters Jepun: Aaron-Roy King semakin hampir rangkul gelaran kedua

Facebook
WhatsApp
AARON-Roy King meraikan kejayaan mara ke final Kejohanan Badminton Masters Jepun 2026 selepas menewaskan beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, 21-18, 21-18 pada aksi separuh akhir di Gimnasium Wilayah Kumamoto hari ini.

KUALA LUMPUR, 14 November: Beregu lelaki negara Aaron Tai-Yap Roy King semakin hampir untuk merangkul gelaran kedua musim ini selepas mara ke final Kejohanan Badminton Masters Jepun 2026 di Gimnasium Wilayah Kumamoto hari ini.

Pada aksi separuh akhir, pasangan yang menduduki ranking ke-57 dunia itu, yang baru bergandingan sejak bulan lepas mencipta kejutan apabila menewaskan beregu Denmark yang menghuni ranking ke-14 dunia Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, 21-18, 21-18 dalam tempoh 38 minit.

Juara Terbuka Artik 2026 itu akan membuat perhitungan dengan pasangan tuan rumah Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada perlawanan akhir esok bagi merebut gelaran juara.

Bekas juara dunia itu sebelum ini menewaskan gandingan China Wang Chang-Xie Haonan, 21-15, 19-21, 21-17.

Kejohanan berstatus Super 500 itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$500,000 (kira-kira RM2.04 juta).- Bernama