
LAWAS: Sebanyak 17 masjid dan 38 surau di Daerah Lawas menerima sumbangan berjumlah RM190,000 daripada Majlis Islam Sarawak (MIS) manakala sebanyak RM178,000 disumbangkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata masjid dan surau bukan sekadar tempat ibadah, tetapi pusat komuniti yang perlu diurus dengan baik agar dapat berfungsi secara menyeluruh.
“Pengurusan masjid dan surau harus sistematik dan profesional, termasuk dalam aspek rekod kewangan, perancangan aktiviti, serta pemantauan keperluan masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan majlis ringkas tersebut hari ini.
Selain itu, Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari turut menekankan kebersihan masjid dan surau juga perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat Islam kerana agama itu amat menekankan kepentingan kebersihan dalam semua aspek kehidupan, termasuk rumah ibadah.


Dalam usaha memperkasakan peranan masjid sebagai pusat ilmu dan kebajikan, beliau menyeru agar lebih banyak program seperti ceramah agama, kelas al-Quran dan program kebajikan diadakan sepanjang tahun.
Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa selain menerima bantuan, golongan asnaf perlu berusaha keluar daripada kemiskinan dengan memanfaatkan peluang yang disediakan oleh kerajaan, seperti program latihan kemahiran dan bantuan perniagaan.
Turut hadir Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok serta yang lain. – UKAS