SKUAD Badminton Para Sukma Sarawak kini masih lagi menunggu arahan untuk kembali menyambung sesi latihan mereka.
Ia sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Para Sukma 2020 yang akan berlangsung di Johor Bahru 5 hingga 10 April 2021.
Jurulatih, Suhaili Laiman memberitahu, setakat ini belum ada sebarang arahan membenarkan mereka kembali menyambung latihan seperti biasa.
“Walaupun ada kelonggaran diberikankepada semua pasukan terlibat dengan temasya dwitahunan negara itu untuk menyambung kembali latihan.
“Akan tetapi sehingga kini kami masih lagi menunggu arahan tersebut,” ujar Suhaili ketika mengulas mengenai perkara itu.
Apa pun, beliau percaya proses tersebut akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Menurut Suhaili, walaupun latihan secara menyeluruh belum dapat dimulakan lagi akan tetapi pemainnya tetap berlatih secara sendirian di rumah masing-masing.
Skuad kali ini masih menyenaraikan sebahagian besar pemain yang merupakan penyumbang pingat buat Sarawak ditemasya dwitahunan Sukan Para Sukma Perak 2018.
Pemain terbabit ialah Nursyazwani Shahrom (perseorangan wanita/SL4 & Bergu Campuran), Nik Ariffin Putit (Bergu Lelaki & Perseorangan LelakiSL3) selain Chung Hong Tsin (Perseorangan Lelaki (WH1).
Di samping Sembilan yang lain terdiri daripada Ashley Irenaeus Jeck (WH2), Hazery Serbini (SL3), Greorgy Anak Kanyan (SL4), Mohd. Aqil Haziq Nong Chee (SL4), Nabilah Ahmat Sharif (SL4), Mohamad Kuswadi Sayip (SU5), Muhammad Adam Harrith Anthony (SU5), Thian Hien Tat (SS6) dan Amin Abdul Rahman (SS6).
Untuk rekod, skuad badminton Para Sukma Sarawak berjaya menyumbang lima pingat pada temasya lalu iaitu dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa.
Oleh Faizal Bujang