Masa saya bersama Brazil sudah berlalu – Neymar

Facebook
WhatsApp
NEYMAR... Neymar mengesahkan karier antarabangsanya bersama Brazil telah berakhir selepas memutuskan untuk tidak lagi mewakili skuad kebangsaan.

RIO DE JANEIRO: Neymar mengesahkan perjalanan karier antarabangsanya bersama Brazil sudah berakhir selepas mengakui tidak lagi mempunyai keinginan untuk terus beraksi di pentas antarabangsa, lapor Xinhua.

Bintang berusia 34 tahun itu menamatkan khidmat selama 16 tahun bersama ‘Selecao’ sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 80 gol dalam 130 penampilan.

“Saya rasa masa saya bersama skuad kebangsaan sudah berlalu.

“Saya mencipta sejarah bersama pasukan itu dan saya sangat gembira.

“Saya melalui pelbagai pengalaman, mencurahkan segala-galanya dan sentiasa berjuang demi jersi kuning Brazil.

“Namun, saya rasa saya tidak lagi mahu meneruskannya,” katanya kepada pemberita.

Neymar sebelum ini sudah memberi bayangan mengenai persaraannya selepas Brazil tewas 1-2 kepada Norway pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia, 6 Julai lepas.

“Saya sudah mencuba. Saya benar-benar sudah mencuba. Kini semuanya berakhir,” katanya selepas perlawanan itu.

Bekas penyerang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu bagaimanapun masih meneruskan karier di peringkat kelab bersama Santos.

Kontraknya bersama kelab Brazil itu dijadual berakhir pada Disember. – Bernama-Xinhua