Marvel kembali gegarkan Comic-Con

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PENGUNJUNG mengunjungi ruang pameran filem Avengers: Doomsday terbitan Marvel semasa Malam Pratonton Comic-Con Antarabangsa San Diego 2026 di Pusat Konvensyen San Diego, California, pada 22 Julai 2026. Foto AFP

SAN DIEGO: Peminat komik dari seluruh dunia kembali berhimpun di San Diego, California, hari ini bagi menghadiri edisi terbaharu persidangan komik (Comic-Con), manakala ramai pengunjung teruja menyambut kepulangan Marvel ke acara berprestij itu.

Marvel tidak menyertai acara tahun lalu, namun bakal kembali memenuhi pentas utama Hall H pada Sabtu ini bagi mempromosikan filem Avengers: Doomsday yang dijadualkan ditayangkan pada Disember.

Di bawah arahan adik-beradik Russo, filem adiwira terbaharu itu akan menyambung jalan cerita daripada Avengers: Endgame (2019) dengan menghimpunkan wira dan penjahat daripada francais X-Men, The Avengers, Black Panther dan Fantastic Four untuk bertempur sekali lagi.

PEMINAT berkostum (cosplayer) yang mengenakan kostum watak-watak Marvel bergambar di luar Pusat Konvensyen sempena Comic-Con Antarabangsa San Diego di San Diego, California, pada 22 Julai 2026. Foto AFP

Kali terakhir Marvel tampil di Hall H, studio itu mengejutkan lebih 6,000 peminat apabila mengumumkan pelakon pemenang Anugerah Akademi, Robert Downey Jr., akan kembali ke Marvel Cinematic Universe (MCU), namun bukan sebagai Iron Man, sebaliknya memegang watak penjahat Doctor Doom.

Sementara itu, DC Studios turut akan mengambil pentas Hall H bagi memperkenalkan siri HBO Lanterns yang menampilkan Kyle Chandler dan Aaron Pierre sebagai dua detektif di sebuah pekan kecil di Nebraska. Siri itu dijadualkan mula disiarkan pada 16 Ogos.

Siri aksi sebenar itu menawarkan pendekatan baharu terhadap filem Green Lantern terbitan 2011 yang diterajui Ryan Reynolds.

PENGUNJUNG tiba di Pusat Konvensyen bagi menghadiri Comic-Con Antarabangsa San Diego di San Diego, California, pada 22 Julai 2026. Foto AFP

Intai Karya Terbaharu

Sejak mula dianjurkan pada 1970, Comic-Con berkembang menjadi antara festival budaya pop terbesar dunia, menghimpunkan ribuan peminat, termasuk yang hadir dengan kostum watak kegemaran, untuk membeli cenderamata, bertemu idola serta meraikan karya yang diminati.

Pengarah Mexico, Guillermo del Toro, akan meraikan ulang tahun ke-20 filem pemenang Anugerah Akademi Pan’s Labyrinth pada Jumaat.

Kru Star Trek pula dijadual hadir ke San Diego pada Sabtu bagi memperingati enam dekad francais itu meneroka alam semesta.

“Itulah yang paling saya nantikan,” kata peminat tempatan, Reyna Villalobos, kepada AFP.

“Mereka beritahu pelakon daripada pelbagai siri dalam francais itu akan hadir dan saya fikir ia amat mengagumkan.”

SEORANG peminat berkostum (cosplayer) menghadiri malam Pratonton Comic-Con Antarabangsa San Diego 2026 di Pusat Konvensyen San Diego, California, pada 22 Julai 2026. Foto AFP

Studio utama turut berlumba-lumba memperkenalkan karya terbaharu mereka menerusi puluhan sesi panel yang disediakan untuk peminat.

Selain mempromosikan siri komedi seram yang dicalonkan untuk Anugerah Emmy, Widow’s Bay, Apple TV dijangka menayangkan sedutan awal filem Mayday lakonan Ryan Reynolds dan Kenneth Branagh, serta Matchbox: The Movie yang dibintangi John Cena dan Jessica Biel.

Pada Jumaat pula, peminat bakal disajikan pratonton filem yang dinanti-nantikan, Spaceballs: The New One, iaitu sekuel kepada filem komedi angkasa lepas legenda arahan Mel Brooks.

Beberapa minggu sebelum pembukaannya di Los Angeles, Muzium Lucas turut akan berkongsi maklumat terbaharu mengenai pameran yang bakal dipertontonkan.

Comic-Con 2026 berlangsung sehingga Ahad, 26 Julai ini. – AFP