
Foto ADUN Kalaka
SARATOK: Bagi generasi era 80-an dan 90-an, pengalaman melastik pastinya menjadi satu memori indah lagi mengujakan.
Namun permainan tradisional itu kian lenyap ditelan zaman akibat ledakan teknologi dan permainan moden.
Menyedari hakikat itu pelbagai usaha dilakukan bagi menggamit kembali kenangan serta keseronokan bermain lastik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata beliau amat memuji usaha yang dilakukan oleh Melango Slingshot Team (MST) bagi mengangkat kembali permainan tradisi itu kepada masyarakat umum.
Beliau menyatakan usaha memartabatkan sukan tradisi sebagai aktiviti riadah yang beliau yakini mampu menyatukan masyarakat setempat.
“Dulu, permainan melastik sering mendapat tempat di hati masyarakat tidak mengira usia, namun, sejak zaman teknologi dengan pelbagai gajet canggih, permainan ini bagaikan dipinggirkan.
“Oleh itu, saya memuji pihak MST untuk merancakkan semula minat terhadap permainan ini, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang tidak pernah mencubanya,” katanya semasa hadir menyaksikan Pertandingan Santai Udak Slingshot 2025 anjuran MST di Kampung Melango, dekat sini petang semalam.
Mohamad Duri, berkata pertandingan melastik yang dianjurkan MST itu adalah sebagai satu usaha untuk mengembalikan nostalgia permainan tradisional yang semakin dilupakan oleh generasi muda yang lebih tertarik kepada permainan video dan gajet.
Beliau turut menekankan pentingnya memperkenalkan sukan ini kepada generasi muda untuk menggalakkan perpaduan komuniti dan semangat kerjasama.
“Sambutan hangat dan menggalakkan diterima daripada peserta serta penonton mencerminkan minat yang tinggi terhadap sukan melastik, yang bukan sahaja menguji ketepatan tetapi juga kemahiran serta kecekapan.
“Sukan berkenaan dilihat sangat digemari oleh semua lapisan masyarakat di daerah ini termasuklah kanak-kanak. Saya melihat penganjuran pertandingan ini adalah sesuatu yang baik kerana bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, tetapi ia juga sukan yang tidak memerlukan kos tinggi,” katanya.
Mohamad Duri berharap sukan ini dapat mengisi masa lapang belia di daerah ini, sekali gus menghindari diri mereka daripada gejala yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah.
“Ia juga sebagai persiapan bagi menghadapi kejohanan yang lebih besar akan datang. Untuk makluman acara ini turut disenaraikan di dalam pengisian program Pesta Saratok 2025 yang diadakan pada penghujung bulan Jun nanti,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi dan Ketua Pemuda PBB Kalak, Harjam Jamain.
Oleh Adi Safarman