MIRI: Maritim Malaysia Zon Miri merampas dua vesel nelayan asing Vietnam di kedudukan 132 batu nautika dari barat laut Tanjung Baram di sini selepas disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara ini, Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kananl Arrifin Jusoh berkata, ketika kapal ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan Sarawak sekitar jam 10.18 pagi, ia telah mengesan dua vesel dalam keadaan mencurigakan, disyaki sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.
Katanya, pada jam lebih kurang 10.55 pagi, kapal ronda Maritim Malaysia telah berjaya mendekati vesel tersebut untuk diperiksa dan geledah.
“Pihak vesel bertindak sedikit agresif ketika kapal ingin merapat namun berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak penguatkuasa.
“Hasil pemeriksaan geledah mendapati kedua-dua vesel berkenaan merupakan vesel nelayan asing berdasarkan nombor pendaftaran vesel yang meragukan, reka bentuk dan ciri-ciri vesel tersebut disyaki berasal dari negara Vietnam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Kamal, vesel pertama ditahan pada jam 11.35 pagi pada jarak lebih kurang 132 batu nautika dari barat laut Tanjung Baram beserta lima orang awak-awak termasuk tekong lelaki berumur dalam lingkungan 48 hingga 66 tahun kerana disyaki telah memasuki perairan perikanan Malaysia.
Katanya, vesel kedua ditahan pada jam 11.55 pagi pada jarak lebih kurang 132 batu nautika dari barat laut Tanjung Baram berserta lima awak-awak termasuk tekong berumur dalam lingkungan 30 hingga 63 tahun.
“Kedua-dua vesel ini ditahan kerana disyaki telah memasuki perairan perikanan Malaysia dan melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan perikanan Malaysia tanpa pemakluman kepada pengarah perikanan Malaysia ketika diperika oleh penguat kuasa.
“Kesemua mereka yang ditahan didapati tidak memiliki pengenalan diri yang sah ketika diperiksa oleh penguatkuasa,” katanya
Beliau berkata, hasil rampasan termasuk dua vesel dengan anggaran RM4 juta serta lapan awak-awak dan dua orang tekong telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Miri untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.
Kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 .
Jika sabit kesalahan, tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta manakala RM100,000 bagi setiap awak-awak atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Maritim Malaysia akan memperkasakan lagi usaha mengekang pencerobohan vesel nelayan asing di sekitar perairan Sarawak serta tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan atau aktiviti jenayah di laut.
Oleh Liong Chai Ling