Maritim Malaysia perkukuh kompetensi pegawai melalui ceramah UNCLOS dan perundangan Maritim

Facebook
WhatsApp
RAKAMAN kenangan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia Wilayah Timur, Farahah Mohd Nazari menerima cenderahati Perundangan Maritim Malaysia kepada pegawai dan anggota Maritim Malaysia Negeri Sarawak di Bilik Perhimpunan, Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak, Kuching, semalam. Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak terus memperkukuh kompetensi pegawai dan anggotanya dalam aspek perundangan maritim menerusi penganjuran Ceramah Pelaksanaan United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) dalam Perundangan Maritim Malaysia di Bilik Perhimpunan, Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak, semalam.

Ceramah tersebut disampaikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia Wilayah Timur, Farahah Mohd Nazari, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan kefahaman warga Maritim Malaysia terhadap pelaksanaan undang-undang maritim antarabangsa serta perundangan domestik dalam operasi penguatkuasaan di laut.

Program itu memberi penekanan kepada prinsip-prinsip utama UNCLOS, termasuk skop bidang kuasa maritim Malaysia, hak dan tanggungjawab negara pantai, pengurusan zon-zon maritim serta aplikasi perundangan dalam pelaksanaan operasi penguatkuasaan.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada isu-isu semasa berkaitan undang-undang laut, cabaran operasi di lapangan serta perkongsian pengalaman pengendalian kes bagi memperkukuh kefahaman terhadap aspek perundangan yang menjadi asas kepada tindakan penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Penganjuran ceramah tersebut mencerminkan komitmen Maritim Malaysia dalam memperkasakan pembangunan modal insan melalui peningkatan ilmu, kompetensi dan profesionalisme pegawai serta anggota agar setiap tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berintegriti, berlandaskan undang-undang dan selaras dengan piawaian antarabangsa.

Maritim Malaysia memaklumkan agensi itu akan terus memperluaskan program pembangunan kompetensi seumpama ini bagi memastikan pegawai dan anggota sentiasa bersedia menghadapi cabaran penguatkuasaan maritim yang semakin kompleks, sekali gus memperkukuh keupayaan agensi dalam memelihara keselamatan, kedaulatan dan kepentingan perairan negara.