
KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak bersama Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas A yang disyaki melanggar syarat lesen dalam satu operasi penguatkuasaan Op MARDOF di perairan Kuching pada 24 Jun lepas.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata tangkapan itu dilakukan kira-kira 1.30 tengah hari di kedudukan lebih kurang 5.5 batu nautika ke timur Tanjung Po.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong lelaki berusia 55 tahun bersama empat awak-awak lelaki berusia antara 36 hingga 43 tahun.
“Siasatan awal mendapati vesel itu disyaki tidak dioperasikan oleh pemilik asal sebagaimana yang diperuntukkan di bawah syarat lesen, sekali gus dipercayai melanggar Seksyen 8B Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tindakan lanjut termasuk penahanan vesel, siasatan dan pengurusan kes telah diambil oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
Kesemua kru bersama vesel berkenaan telah dibawa ke Jeti Perikanan Santubong untuk tindakan selanjutnya.
Mohd Khairi berkata jika disabitkan kesalahan, pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan Akta Perikanan 1985 serta syarat-syarat lesen yang berkuat kuasa.
Beliau berkata Op MARDOF yang bermula pada 17 Jun lalu merupakan operasi berterusan Maritim Malaysia bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim, memastikan pematuhan terhadap peraturan perikanan serta membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan negara.
Katanya, kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan JPLS akan terus diperkasa bagi memastikan sumber perikanan negara dilindungi serta aktiviti penangkapan ikan dijalankan mengikut undang-undang.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia kekal komited melaksanakan penguatkuasaan bagi menjamin keselamatan perairan negara, kelestarian sumber perikanan serta pematuhan terhadap undang-undang maritim.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan berkaitan salah laku di laut diminta menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.
Oleh Adi Safarman