BINTULU: Maraton Bintulu 2026 bakal menghimpunkan seramai 10,472 pelari dari seluruh Malaysia dan 22 negara pada penganjurannya yang dijadual berlangsung pada 2 Ogos ini.
Difahamkan, jumlah itu melepasi sasaran awal 10,000 peserta, sekali gus mencerminkan sambutan memberangsangkan terhadap acara larian tahunan berkenaan.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Muhamad Yakup Kari berkata, penyertaan pelari dari dalam dan luar negara diyakini mampu memberi impak positif kepada ekonomi serta sektor pelancongan Sarawak.
“Kami berharap acara ini bukan sahaja berlangsung lancar, malah memberi impak yang lebih luas kepada ekonomi dan sektor pelancongan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau BDA komited memastikan pengalaman terbaik kepada peserta menerusi pengurusan laluan yang lebih cekap, kemudahan perubatan dan keselamatan yang dipertingkat, selain suasana festival yang lebih meriah berbanding tahun lalu.
Maraton Bintulu 2026 menawarkan empat kategori iaitu maraton penuh (42 kilometer), separuh maraton (21 kilometer), 10 kilometer dan 6 kilometer. Laluan maraton penuh dan separuh maraton turut menerima pensijilan antarabangsa daripada World Athletics menerusi Persatuan Maraton Antarabangsa dan Larian Jarak Jauh (AIMS).




