TAWAU: Kanak-kanak berusia lima tahun yang ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan 38 kediaman di Kampung Jati, Batu 5 di sini, tengah malam tadi, sedang nyenyak tidur ketika kejadian, kata ibu saudaranya, Noor Hajijah Matrol.
Noor Hajijah, 43, berkata mangsa sudah dikejutkan oleh ibunya tetapi berkemungkinan tidur semula.
Dalam keadaan amat kelam-kabut ketika itu, beliau berkata, kanak-kanak terbabit disangkakan sudah dibawa keluar dari rumah yang sedang dijilat api.
“Selepas itu, baru sedar anak saudara hilang. Puas kami cari sampai merata tempat tetapi tidak jumpa… ada yang cakap dengar budak menangis,” katanya kepada Bernama.
Kebakaran di Kampung Jati tengah malam tadi memusnahkan 38 rumah. – Foto BERNAMA