
LINGGA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaikinya karam di Sungai Banting berakhir apabila jasad mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung pada petang ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Gerald Lansam, 42, ditemukan pada 4.10 petang di lokasi kira-kira 300 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) yang didirikan di kawasan operasi.
Menurut PGO, penemuan jasad mangsa oleh penduduk kampung itu sekali gus menamatkan pencarian yang memasuki hari kedua selepas beliau dilaporkan hilang akibat insiden perahu karam di Sungai Banting, Lingga pada semalam.
Operasi SAR hari kedua bermula seawal 7.00 pagi tadi dengan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman diketuai Komander Operasi, PBK I Mohd Fadhli Buyong, menuju ke lokasi kejadian.
Pasukan penyelamat tiba di lokasi pada 8.30 pagi sebelum mendirikan PKB dan memulakan pencarian di kawasan terakhir mangsa dilihat dengan radius pencarian sejauh satu kilometer.

Operasi kemudiannya diperluaskan ke kawasan hilir sungai sehingga lima kilometer dari PKB melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit K9 JBPM serta penduduk kampung.
Seramai 25 penduduk kampung bersama tujuh bot turut membantu usaha pencarian sepanjang operasi berlangsung.
Pada sebelah petang, operasi diteruskan dengan bantuan anjing pengesan Unit K9 di kawasan hilir sungai sebelum jasad mangsa akhirnya ditemukan oleh penduduk kampung.
Susulan penemuan itu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
PGO memaklumkan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada 4.30 petang atas arahan Ketua Balai Polis Lingga selepas mangsa berjaya ditemukan.
Terdahulu, perahu yang dinaiki sembilan individu dilaporkan mengalami kerosakan enjin sebelum melintang pada tiang jambatan dan terbalik akibat arus sungai yang deras.
Lapan mangsa lain berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung menggunakan perahu, manakala Gerald dilihat berpaut pada tiang jambatan sebelum tenggelam dan dihanyutkan arus.
Oleh Adi Safarman