KUCHING: Jumlah mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di sini, tengah hari tadi meningkat kepada lima orang.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, empat daripada mangsa yang berumur antara 16 hingga 45 tahun, termasuk seorang wanita meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Dalam kenyataan malam ini, Mohd Farhan berkata kemalangan di Jalan Teo Kui Seng-Stutong Baru kira-kira jam 12.50 tengah hari itu berlaku apabila sebuah kereta dari arah Jalan Lapangan Terbang menghala ke Jalan Setia Raja hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
“Kereta itu kemudian merempuh dua motosikal dan dua kereta di laluan bertentangan itu,” katanya.
Mohd Farhan berkata, remaja lelaki berusia 16 tahun yang memandu kereta Proton Saga yang merempuh empat kenderaan lain itu kini masih menerima rawatan di HUS kerana mengalami kecederaan di leher.
“Tiga lagi mangsa yang turut mengalami kecederaan juga menerima rawatan lanjut di HUS,” katanya.
Menurutnya lagi, remaja lelaki itu yang tidak memiliki lesen memandu akan ditahan selepas dia menerima rawatan di HUS.
“Dia akan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000,” katanya.
Polis menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai insiden ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, ASP Lucas Apin, di talian 013-8246881 atau 082-259900, atau melaporkannya di balai polis berhampiran.
Oleh SHAHRUL QAIZAT