SIBU: Seramai 60 peserta bersama motosikal berkuasa tinggi dan kenderaan pacuan empat roda berkonvoi menuju ke Rumah Chat, Nanga Bilat di Julau pada Ahad lalu bagi menghantar bantuan kemanusiaan.
Program ‘charity ride’ berkenaan merupakan anjuran Dayak Bikers Sarawak Sibu Chapter (DBSSC) dan Borneo Bikers Sibu Chapter (BBSC).
Rumah Chat, Nanga Bilat yang musnah dalam kebakaran pada 17 Ogos lalu menerima sumbangan dalam bentuk barangan makanan dan keperluan harian termasuk pakaian dan wang tunai.
Menurut Ketua Cawangan DBSSC Juing Kanyong, seramai 60 orang peserta bersama motosikal berkuasa tinggi dan kenderaan pacuan empat roda berkonvoi menuju ke Rumah Chat bagi menghantar bantuan tersebut.
“Dengan kerjasama antara kelab-kelab motosikal dan kelab kereta di Sibu, kita berjaya menjalankan program berbentuk bantuan kemanusian seperti ini.
“Pihak kelab berterima kasih kepada semua ahli yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam menjayakan program ini.
“Harapan kita agar lebih banyak lagi agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO ) dapat menghulurkan bantuan seperti ini di masa akan datang,” katanya.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada kumpulan Kenyalang Bezza Owner Club, Sean Rider, Antu Jalai, PDR, G2RS, Katak Stance, Kapcai Rayau, Sibu Extreme Bikers Comunity, Dayak Big Bikers, Rattling Guns, BrotherHood, Remaung Borneo, Evolution Rider, Barger Mok dan Riders Julau Bikers Society.
Oleh Nurzilla Mohamad