KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menyambut kepulangan perlumbaan Formula One (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas sembilan tahun apabila bakal menjadi tuan rumah Grand Prix (GP) F1 Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia berbesar hati untuk menyokong Kerajaan Bahrain, F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam penganjuran perlumbaan itu, sambil menyifatkannya sebagai bukti kukuh hubungan persahabatan yang erat serta kepercayaan bersama antara kedua-dua negara.
Anwar berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman Hamad Al Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1 Stefano Domenicali berhubung kerjasama itu.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada baginda, Kerajaan serta rakyat Bahrain atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada Malaysia… kami berbesar hati dapat menyokong Kerajaan Bahrain, F1 dan FIA dalam penganjuran GP F1 Bahrain di SIC pada tahun ini,” katanya.
“Kerjasama ini bukan sekadar penganjuran acara sukan bertaraf dunia malah mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama serta hubungan erat antara Malaysia dan Kerajaan Bahrain selain mengulangi kesiapsiagaan serta keupayaan Malaysia untuk menganjurkan acara besar di peringkat antarabangsa,” kata beliau menerusi hantaran di platform media sosial.
Perdana Menteri berkata Malaysia juga berharap untuk mempamerkan kemudahan bertaraf dunia, kecemerlangan operasi serta layanan mesra dan pada masa sama, mempererat silaturahim kedua-dua negara melalui acara berprestij ini. – Bernama




