
KUALA LUMPUR: Malaysia membuka tirai aksi Kumpulan B acara double kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.
Gandingan negara Muhammad Noraizat Mohd Nordin selaku tekong bersama apit kanan Aidil Aiman Azwawi mempamerkan aksi meyakinkan untuk mencatat kemenangan 15-7 pada set pertama.
Penampilan pertama Muhammad Redwan Hakim Muhammad di posisi apit kiri menggantikan Aidil Aiman pada set kedua membantu pasukan negara melengkapkan kemenangan 15-5.
Turut mencatat kemenangan pertama hari ini, Thailand yang mengetepikan cabaran Taiwan 15-4,15-5.
Malaysia dijadualkan berdepan musuh tradisinya Thailand pada aksi kedua Kumpulan B malam ini.
Sementara itu, jurulatih double kebangsaan Aswadi Abdullah berharap permulaan positif skuad negara pada aksi pembukaan menjadi penyuntik semangat buat pemain menjelang perlawanan menentang gergasi sepak takraw terkemuka nanti.
“Sebenarnya ini baru permainan pertama. Ia mudah tapi dari segi permainan, kami belum sampai tahap yang sepatutnya mungkin masih tercari-cari permainan pertama.
“Kalau kita tengok tadi, mestilah kena perbaiki dari segi serangan dan juga servis. Itu perkara yang perlu kita titik beratkan. Sudah tentu kemenangan ini masih satu suntikan moral,” katanya.– Bernama