Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Malaysia perluas pelan pemuliharaan terumbu karang ke Semenanjung dan Sarawak
  • NASIONAL

Malaysia perluas pelan pemuliharaan terumbu karang ke Semenanjung dan Sarawak

Utusan Sarawak 3 hours ago
MALAYSIA perluas pelan pemuliharaan terumbu karang ke Semenanjung dan Sarawak. Foto hiasan.

KOTA KINABALU: Malaysia secara rasminya melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan (NPOA) 2.0, dengan memperluas skop pemuliharaan terumbu karang dan pengurusan mampan melangkaui Sabah untuk turut merangkumi Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Perluasan bersejarah itu, memastikan terumbu yang mempunyai kepentingan ekologi tinggi, termasuk di hab pelancongan utama seperti Pulau Redang dan Pulau Tioman, diintegrasikan sepenuhnya ke dalam rangka kerja bersatu negara bagi pemuliharaan biodiversiti serta kelangsungan kehidupan komuniti.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa rangka kerja yang dikemas kini itu, memperkenalkan tadbir urus berasaskan sains yang lebih ketat bersama penanda aras Kesaksamaan Gender dan Keterangkuman Sosial (GESI), bagi memperkukuh daya tahan marin terhadap kesan perubahan iklim yang semakin pesat.

“NPOA 2.0 dibangunkan secara langsung berasaskan pencapaian penting yang dicapai menerusi pelaksanaan dasar fasa pertama, didorong kerjasama kukuh merentas pelbagai sektor,” menurut NRES dalam kenyataan itu.

Pelancaran tersebut disempurnakan Ketua Setiausaha NRES Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, pada majlis makan malam di sini malam tadi, yang turut dihadiri Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Kasim Mansor dan Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Maklarin Lakim. 

Acara itu turut menyaksikan pemeteraian rasmi satu kerjasama penting antara NRES dan UMS, yang menghubungkan kecemerlangan akademik dengan pelaksanaan dasar kerajaan secara proaktif.

Di bawah perjanjian yang dimeterai itu, UMS akan meneruskan peranannya sebagai tuan rumah kepada Pejabat Operasi Cawangan Sabah CTI (CTI-SAB), yang akan membantu secara langsung Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan Malaysia (NCC), dalam melaksanakan pelbagai program.

Selaras dengan pengurusan marin pada peringkat serantau, NRES mendedahkan bahawa Malaysia mengambil pendekatan proaktif untuk mengekang pencemaran marin, dengan melaksanakan Kajian Semula Pertengahan Penggal secara menyeluruh terhadap tiga dasar utama plastik negara.

Dasar tersebut merangkumi Dasar dan Pelan Tindakan Sampah Marin Kebangsaan (NMLPAP), Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Plastik Guna Sekali, serta Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia (MPSR).

Sementara itu, ketika Malaysia mengambil alih peranan sebagai pengerusi Kumpulan Kerja Teknikal Kawasan Perlindungan Marin (MPA TWG) bagi penggal 2026-2027, negara ini secara aktif menerajui usaha memperkukuh perpaduan serta kemajuan kerjasama dalam kalangan negara anggota. – Bernama

Continue Reading

Previous: Lebih 39,000 pemilih baharu dalam daftar pemilih tambahan April 2026 – SPR
Next: Malaysia harus pertingkat automasi, kurangkan kebergantungan kepada buruh asing – Sim

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.