Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Malaysia harus pertingkat automasi, kurangkan kebergantungan kepada buruh asing – Sim
  • NASIONAL

Malaysia harus pertingkat automasi, kurangkan kebergantungan kepada buruh asing – Sim

Utusan Sarawak 4 hours ago
TIMBALAN Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sim Tze Tzin memberi jawapan kepada pertanyaan dari pemain industri pada sidang media Timbalan Menteri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (ADUN), serta Dewan Perniagaan dan Industri Cina Negeri Sembilan (NSCCCI).

KUALA LUMPUR: Malaysia mesti mengurangkan pergantungan yang tinggi terhadap buruh asing dengan mempercepatkan automasi dalam sektor perindustrian dan pembuatan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata banyak industri masih terlalu bergantung kepada pekerja asing, sekali gus menghalang mereka daripada melonjak ke rantaian nilai lebih tinggi dan menjadi lebih berdaya saing di peringkat global.

“Malaysia terlalu bergantung kepada pekerja asing dan jika kita terus bergantung kepada mereka serta mengekalkan semua proses secara manual, kita akan ketinggalan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran METALTECH & AUTOMEX 2026 di sini, hari ini.

Sim berkata automasi tidak akan menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia, sebaliknya membantu melonjakkan tenaga kerja ke arah berkemahiran lebih tinggi dengan pendapatan lebih baik.

“Ramai orang bimbang pekerja akan kehilangan pekerjaan akibat automasi, bagaimanapun tanggapan itu sama sekali tidak benar.

“Jika sesebuah kilang beralih kepada automasi, pekerja akan dinaik taraf daripada operator kepada juruteknik, sekali gus memperoleh pengetahuan baharu dan menerima gaji lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa automasi kini menjadi sangat kritikal memandangkan industri sedang berdepan dengan perubahan teknologi yang pantas serta peningkatan kos, selaras dengan fasa peralihan negara menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Sim menekankan Malaysia kini sedang berhadapan dengan dua peralihan besar, iaitu kepantasan kemajuan teknologi serta tekanan kos yang kian meningkat ekoran kenaikan gaji, situasi itu menjadikan penerapan automasi sebagai sesuatu yang penting demi mengekalkan pertumbuhan industri.

Beliau berkata kerajaan sedang menggesa penerapan automasi lebih meluas terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi meningkatkan kecekapan, ketepatan, serta daya saing jangka panjang.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan sebanyak 3,000 syarikat untuk beralih daripada proses manual kepada automasi dengan sokongan geran padanan dan kemudahan pembiayaan.

“Geran padanan ini boleh mencecah sehingga RM20 juta bagi kilang-kilang berskala besar, manakala Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menawarkan pembiayaan faedah rendah untuk automasi dan pemodenan dan EXIM Bank pula menyediakan kemudahan bagi membantu syarikat mendigitalkan operasi serta melindungi eksport mereka,” katanya. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Malaysia perluas pelan pemuliharaan terumbu karang ke Semenanjung dan Sarawak
Next: RUU Warga Emas dibentang pada sesi parlimen akan datang – Nancy

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.