Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Malaysia hulur bantuan RM10 juta kepada Myanmar
  • NASIONAL

Malaysia hulur bantuan RM10 juta kepada Myanmar

Utusan Sarawak 1 month ago
HULUR BANTUAN… Seramai 50 anggota dan pegawai Smart berlepas ke Naypyidaw, Myanmar pagi ini bagi misi bantuan kemanusiaan serta menyertai operasi SAR mangsa gempa bumi di negara itu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia memutuskan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan RM10 juta sebagai permulaan bagi membantu rakyat Myanmar yang terkesan dengan kejadian gempa bumi di negara itu.

Beliau berkata sebagai manifestasi tanggungjawab dan solidariti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, beliau turut mengarahkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetuai misi kemanusiaan ke negara itu minggu hadapan.

“Lawatan ini bertujuan menyatakan sokongan padu Malaysia terhadap operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang giat dijalankan, termasuk oleh pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah memulakan penugasan di lapangan bermula hari ini,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Seramai 50 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) di bawah NADMA berlepas ke Naypyidaw, Myanmar pagi ini bagi melaksana misi kemanusiaan serta membantu operasi SAR mangsa gempa bumi di negara itu.

Anwar berkata semangat kebersamaan dan tindakan kolektif dalam kalangan negara anggota ASEAN amat penting dalam menangani situasi kemanusiaan seperti ini.

“Keutamaan ASEAN memelihara kesejahteraan rakyat serantau harus diterjemahkan menerusi tindakan yang cepat, berkesan dan bersifat menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata Malaysia akan terus berunding dan bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN bagi menyelaras bantuan diperlukan Myanmar serta memastikan setiap usaha yang digerakkan memberi impak bermakna kepada mangsa.

“Malaysia kekal komited untuk memperkukuh perpaduan serantau dan memacu agenda kemanusiaan ASEAN yang berteraskan nilai kasih sayang, tanggungjawab bersama dan solidariti,” katanya.

Gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda negara Asia Tenggara itu Jumaat lalu, dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas selain turut menjejaskan negara jiran, Thailand.

Hingga semalam, jumlah korban bencana itu di Myanmar mencecah hampir 2,000 orang selain ribuan cedera dan ratusan lagi masih hilang. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Pasangan Cina hasilkan baju Melayu, baju kurung hanya RM50
Next: Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri esok, 31 Mac – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.