
Reaksi pengurus Liverpool, Arne Slot selepas perlawanan menentang Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto AFP
BIRMINGHAM: Pengurus Liverpool, Arne Slot tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila terikat 2-2 dengan Aston Villa meskipun pasukannya kini memiliki kelebihan lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan baki 12 perlawanan.
The Reds sepatutnya memenangi perlawanan itu untuk berada 10 mata di hadapan Arsenal, namun mereka tercicir mata untuk kali kedua dalam tiga perlawanan, sekali gus menyaksikan peluang perebutan gelaran masih terbuka.
“Sejujurnya, saya tidak begitu gembira. Jika melihat kembali perlawanan, kami mencipta lebih banyak peluang berbanding mereka,” kata Slot kepada TNT Sports.
“Saya berasa kami sudah melakukan segala-galanya yang perlu untuk mendapatkan keputusan yang baik di sini, malah mungkin juga kemenangan.”
Ia malam penuh dengan emosi buat Liverpool, yang mendominasi perlawanan pada awalnya dan mendahului pada minit ke-28 hasil jaringan liga ke-24 daripada Mohamed Salah musim ini.
Jaringan Youri Tielemans dan Ollie Watkins kemudian memberikan Villa kelebihan, sebelum rembatan Trent Alexander-Arnold berjaya menyamakan kedudukan buat Liverpool selepas sejam permainan.
Pemain gantian Liverpool, Darwin Nunez melepaskan peluang keemasan, malah skuad Slot hampir dikecewakan pada saat akhir apabila Donyell Malen nyaris menjaringkan gol apabila rembatannya terkena tiang.
“Pada minit terakhir, (Villa) hampir memenangi perlawanan,” kata Slot.
“Tetapi jika melihat kepada semua peluang yang kami cipta, jelas sekali saya tidak gembira dengan keputusan 2-2.
“Bermain di sini bukanlah mudah kerana kekuatan pasukan mereka serta sokongan daripada penyokong mereka, tetapi saya berasa kami hampir bermain dalam satu perlawanan terbaik.”
Arsenal yang berada di tempat kedua kini mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan berpeluang meningkatkan tekanan ke atas Liverpool hujung minggu ini.