Mak Yong Shakespeare: Gabung dua tradisi, beri nafas baharu seni persembahan

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Dalam dunia teater yang sentiasa bereksperimen mencari pendekatan baharu untuk mendekati khalayak, Mak Yong Shakespeare: The Comedy of Errors – An Adaptation tampil sebagai sebuah pementasan yang berani menyatukan dua tradisi seni berbeza dalam satu pengalaman persembahan yang segar dan menghiburkan.

Dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini, persembahan rentas budaya selama lebih dua jam itu memperlihatkan bagaimana seni tradisional Melayu dari Kelantan boleh bertemu dengan karya klasik Barat hasil nukilan William Shakespeare, tanpa menghilangkan identiti dan roh asal makyung. 

Pengarahnya, Prof Madya Dr Norzizi Zulkifli mengambil pendekatan kreatif apabila menjadikan The Comedy of Errors sebagai wadah untuk memperluas ruang penceritaan makyung, yang selama ini lebih sinonim dengan kisah tradisional seperti Dewa Muda dan Raja Tangkai Hati.

Hasilnya ialah sebuah pementasan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut membuka ruang kepada penonton untuk melihat seni warisan dalam konteks yang berbeza, sekali gus membuktikan bahawa tradisi tidak semestinya terikat pada bentuk dan cerita yang sama.

Menariknya, meskipun bersandarkan karya Shakespeare, pementasan itu masih mengekalkan identiti dan estetika makyung menerusi gaya lakonan, gerak tari, muzik tradisional serta elemen improvisasi dalam dialog yang menjadi antara ciri penting seni persembahan warisan berkenaan.

Pendekatan dwibahasa, Melayu dan Inggeris, pula menjadikan naskhah itu lebih mudah dihayati oleh penonton daripada pelbagai latar belakang, termasuk generasi muda dan pelancong antarabangsa.

Melalui konsep teater hibrid itu, watak-watak Shakespeare dikekalkan dengan nama asalnya, namun dihidupkan menerusi roh, gaya dan estetika lakonan Melayu tradisional.

Jalan ceritanya berkisar kisah kekeliruan identiti pasangan kembar, Pak Yong Antipholus, yang terpisah sejak kecil akibat bencana ribut laut sebelum takdir menemukan semula mereka di Kota Ephesus sehingga mencetuskan pelbagai situasi salah faham dan kekecohan.

Namun, kekuatan persembahan itu tidak hanya terletak pada jalan ceritanya, sebaliknya,  interaksi antara para pelakon menjadi antara elemen yang membuatkan pementasan berkenaan terasa hidup, khususnya apabila setiap watak saling melengkapi untuk membina suasana komedi yang dekat dengan penonton.

Watak Che Puan Adriana yang dibawakan oleh Ain Sufia, misalnya, antara yang paling mencuri perhatian. Setiap dialog yang dilontarkannya disambut dengan gelak tawa penonton, manakala ekspresi wajah dan bahasa tubuhnya pula menambahkan lagi warna kepada watak tersebut.

Dalam masa sama, barisan watak Peran (pengasuh) yang dijayakan oleh Asrulfaizal Kamaruzaman, Shahkimin, Issey dan Rosdeen Suboh turut menjadi antara penggerak penting yang menyuntik elemen komedi sepanjang pementasan.

Keempat-empat watak itu bijak menyelitkan isu semasa serta dendangan lagu tular dalam dialog mereka, menjadikan pementasan terasa lebih dekat dengan khalayak masa kini.

Elemen spontan dan bersahaja itu juga seolah-olah merapatkan jarak antara pentas dengan penonton, sekali gus menjadikan pengalaman menonton lebih santai dan menghiburkan.

Watak utama, pasangan kembar Pak Yong Antipholus, dijayakan oleh Mhia Farhana Firdaus sebagai Antipholus of Syracuse dan Salsabila Mohd Sofian sebagai Antipholus of Ephesus.

Barisan pelakon berpengalaman turut memperkukuh keseluruhan pementasan, antaranya Vanidah Imran sebagai Pedagang Egeon, Juhara Ayub sebagai Mak Wan Emilia dan Norzizi sendiri sebagai Raja Besar Solinus.

Ismadian Ismail pula membawa watak Permaisuri Solinus, JZ Jasli sebagai Nik Luciana, Mohamad Yusmar Afeendi Yusof sebagai Tuan Pedagang, Muhammad Nur Iman Hawari sebagai Tukang Emas Angelo dan Muhamad Shahreen Kamaruzaman sebagai Tok Temenggung.

Muhammad Syawal Mohd Faizal serta Shaik Aqil Mukhriz Shaik Monsoor pula masing-masing membawa watak pengawal istana.

Selepas lebih dua jam menyaksikan pelbagai kekeliruan, gelak tawa dan kemeriahan di pentas, para pelakon akhirnya menerima tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir.

Tepukan itu bukan sekadar tanda penghargaan terhadap persembahan yang menghiburkan, tetapi juga seolah-olah menjadi pengiktirafan terhadap keberanian mengangkat seni tradisional ke ruang yang lebih kontemporari.

Mak Yong Shakespeare: The Comedy of Errors – An Adaptation akhirnya meninggalkan satu persoalan yang menarik untuk direnungkan,  iaitu sejauh mana seni tradisional boleh berkembang dan bereksperimen tanpa kehilangan jati dirinya? – Bernama

MimiFly ke Indonesia demi Bayan

KUALA LUMPUR: Demi menghidupkan watak Bayan dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM), penyanyi MimiFly sanggup ke Indonesia bagi