HONG KONG, 4 November: Kebanyakan pasaran saham meningkat pada Rabu ketika pelabur menilai kesan kemenangan besar Parti Demokrat yang berjaya menguasai Kongres Amerika Syarikat (AS), sekali gus memberi tamparan kepada agenda ekonomi Presiden Donald Trump menjelang dua tahun terakhir pentadbirannya.
Pasaran saham dan dolar AS pada awalnya merosot susulan kebimbangan kemenangan Demokrat yang merampas kawalan Dewan Perwakilan dan Senat daripada Republikan boleh menyebabkan kebuntuan politik di Washington.
Trump sebelum ini memberi amaran akan menggunakan kuasa vetonya untuk menyekat sebarang rang undang-undang yang dibawa Demokrat.
Pilihan raya penting itu menyaksikan puluhan juta rakyat Amerika keluar mengundi ketika kemarahan meningkat terhadap kenaikan harga petrol, pelaksanaan tarif dan perang dengan Iran.
Penganalisis Pepperstone, Chris Weston berkata, penguasaan Demokrat berpotensi mencetuskan kebuntuan perundangan, pertikaian fiskal, isu had hutang negara serta siasatan Kongres terhadap pentadbiran Trump.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa presiden masih mempunyai kuasa eksekutif yang luas, menjadikan kesannya terhadap sektor ekonomi sukar diramalkan.
Sementara itu, David Chao dari Invesco berkata, penguasaan Demokrat akan menyukarkan pentadbiran Trump meluluskan dasar utama, sekali gus mengurangkan kemungkinan rangsangan fiskal tambahan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menurutnya, keadaan itu berpotensi mengurangkan tekanan terhadap pertumbuhan ekonomi, inflasi dan hasil bon Perbendaharaan AS, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada mata wang serta dasar monetari negara Asia.
Sentimen pasaran bagaimanapun kembali pulih selepas Trump menyatakan kesediaannya menerima keputusan pilihan raya dan bekerjasama dengan Demokrat untuk mencapai persetujuan.
Pasaran saham Hong Kong, Shanghai dan Seoul kembali mencatatkan kenaikan, manakala Mumbai, Bangkok, Wellington serta Manila turut meningkat.
Sebaliknya, Tokyo, Sydney, Taipei dan Jakarta mengalami penyusutan, sementara pasaran London, Paris dan Frankfurt dibuka lebih tinggi.
Saham teknologi pula terus berdepan tekanan berikutan kebimbangan terhadap pulangan pelaburan besar dalam sektor kecerdasan buatan (AI), selain kemungkinan perubahan dasar berkaitan pembangunan pusat data di bawah kepimpinan Demokrat.
Pengeluar cip Jepun, Kioxia merosot lebih lima peratus, manakala Advantest dan SoftBank masing-masing susut lebih tiga peratus. Saham SK hynix dan Samsung di Seoul turut mengalami penurunan.
Dalam perkembangan lain, harga minyak meningkat sedikit ketika pelabur terus memantau ketegangan di Asia Barat susulan pengesahan Trump mengenai serangan AS terhadap Iran.
Bagaimanapun, Trump meredakan spekulasi mengenai kemungkinan serangan baharu selepas pilihan raya, sambil menegaskan Washington bersedia bertindak sekiranya perlu.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pula berkata, kerajaannya masih berusaha menyelesaikan krisis melalui dialog kerana tiada pihak akan mendapat manfaat sekiranya peperangan tercetus semula.
Namun, ketua perunding Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menegaskan negaranya bersedia menghadapi sebarang konflik, manakala Timbalan Menteri Luar, Kazem Gharibabadi berkata, Tehran mempunyai hak untuk mempertahankan diri. – AFP





