
KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah melancarkan Kempen Kebersihan Tandas Awam 2025 sebagai sebahagian daripada inisiatif strategik di bawah projek Bandar Sejahtera.
Pengerusinya, Dato Peter Minos, menyatakan bahawa kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kebersihan tandas awam serta menggalakkan pemilik premis untuk mengekalkan kebersihan dan keselesaan kemudahan tersebut.
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, dua pertandingan utama telah diperkenalkan. Salah satunya adalah Toilet of the Year Award 2025 (TOTYA), anjuran Jabatan Kerajaan Tempatan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya.
Penyertaan dibuka kepada tandas awam yang mencapai penarafan lima bintang sepanjang tahun 2024/2025, dengan kategori meliputi hotel, pusat beli-belah, restoran, stesen minyak, dan rumah ibadat.
Tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 30 April 2025.
Sementara itu, pertandingan kedua ialah Pertandingan Kebersihan Tandas Awam Peringkat MPKS 2025, yang terbuka kepada pemilik premis seperti restoran, stesen minyak, pusat ibadat, hotel, pusat beli-belah, serta sekolah rendah dan menengah.
MPKS juga akan mengadakan sesi taklimat kesedaran dan jemputan penyertaan pada April 2025, di mana premis yang memperoleh penarafan lima bintang berpeluang memenangi hadiah menarik.
Dalam sidang media sama, Peter Minos, turut mengumumkan promosi diskaun 50 peratus bagi denda lewat pembayaran cukai taksiran untuk pemilik harta di bawah bidang kuasa MPKS.
Promosi ini berlangsung dari 1 Februari hingga 31 Mei 2025, dan pembayaran boleh dibuat melalui kaunter MPKS, platform dalam talian seperti Sarawak Pay, serta di UTC Sarawak, H&L Supermarket dan Sarawak Service Kiosks.
“Keputusan ini telah mendapat kelulusan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
“Pemilik harta dinasihatkan untuk segera menyelesaikan tunggakan bagi menikmati diskaun ini, dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Jabatan Penilaian MPKS melalui WhatsApp di 016-5857114,” jelasnya dalam sidang media di sebuah hotel di sini, semalam.
Selain itu, Setiausaha Perbandaran MPKS, Gustian Durani, mengumumkan penyediaan perkhidmatan tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) bagi memudahkan penduduk membuang sisa pukal menjelang Aidilfitri.
Perkhidmatan ini tersedia dari 19 Mac hingga 8 April 2025, dengan lokasi penempatan tong RORO termasuk Taman Samarindah, Market Bandar Riyal, Taman Desa Ilmu, Kampung Sindang, Kampung Baru, Kampung Rembus, Kampung Tambirat, Pasar Asajaya, Pekan Sadong Jaya, Kampung Semera Lot, dan Kampung Semera Lot Baru.
Gustian mengingatkan penduduk supaya mengangkut sendiri sisa pukal ke tong RORO dan mengelakkan pembuangan tayar di dalamnya.
Pada masa sama, Gustian, turut memperkenalkan aplikasi MyWC (My Water Closet), yang membolehkan pengguna mencari tandas awam dalam radius 25 kilometer.
Aplikasi ini menyediakan maklumat berkaitan penarafan bintang tandas, status tandas berbayar atau percuma, lokasi mesra OKU, serta kemudahan bilik menukar lampin bayi.
Aplikasi MyWC kini boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store, dan MPKS berharap pelbagai inisiatif ini dapat meningkatkan kesedaran kebersihan, memudahkan urusan pembayaran cukai taksiran, serta membantu penduduk menguruskan sampah pukal dengan lebih sistematik.