
KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijadualkan akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 25 Februari ini.
Dagangan saham MAHB telah digantung hari ini sebagai persediaan untuk penyahsenaraian berikutan selesainya tawaran konsortium Gateway Development Alliance (GDA) untuk menstruktur semula kepentingan dalam MAHB.
Pada 12 Februari lepas, GDA, konsortium yang terdiri daripada Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Abu Dhabi Investment Authority dan Global Infrastructure Partners milik BlackRock, mengambil alih 1.64 bilion saham MAHB atau 98.68 peratus daripada jumlah saham terbitan MAHB setakat 5.00 petang pada hari yang sama.
Konsortium itu telah mengemukakan permohonan untuk menyahsenarai MAHB daripada Bursa Malaysia pada hari berikutnya dan kemudiannya mencadangkan untuk mengambil alih kesemua saham MAHB pada RM11 sesaham daripada pemegang saham yang tidak bersetuju, menggunakan peruntukan Seksyen 222 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata tawaran konsortium untuk membeli semua baki saham MAHB pada RM11 sesaham bertujuan meletakkan syarikat itu pada kedudukan untuk disenaraikan semula pada masa depan dengan penilaian yang lebih tinggi. – Bernama