KOTA SAMARAHAN: Mahasiswa diseru menggunakan hak demokrasi dengan baik, berhemah dan bijaksana demi kebaikan negara dan negeri.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, berkata seruan itu disampaikannya bukan untuk berkempen, sebaliknya sekadar memberi kefahaman kepada mahasiswa mengenai hak demokrasi yang mereka miliki.
“Mahasiswa sudah layak mengundi dan perlu menggunakan hak tersebut sebaik-baiknya sebagai warganegara yang bakal mencorakkan negara serta negeri.
“Saya bukan nak berkempen, nak bagi tahu saja. Gunakanlah hak demokrasi itu sebaik-baiknya.
“Mudah-mudahan dengan adanya semangat untuk melihat negara kita hebat, negeri kita hebat, gunakanlah demokrasi secara baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Bicara Inspirasi Bersama Tokoh pada Majlis Ikrar Pelajar (MIP) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Sesi 2026/2027 di Arena Gemilang, Detar Putra, Unimas, di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang menurutnya memberi ruang kepada mahasiswa untuk berjinak-jinak dengan aktiviti politik di peringkat universiti.
“Seawal di peringkat universiti, anda telah diberikan kebebasan untuk berjinak-jinak dengan mana-mana aktiviti yang melibatkan politik.
“Yang paling penting, ada kebebasan. Gunakan kebebasan itu dengan hemah dan bijaksana. Gunakan dengan sebaik-baiknya untuk kebaikan,” jelasnya.
Beliau pada masa sama mengingatkan mahasiswa supaya menggunakan kebebasan tersebut tanpa melampaui batas undang-undang.

“Tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang sebab kita masih tertakluk kepada undang-undang,” ujarnya.
Majlis yang sama menyaksikan seramai 4,371 mahasiswa baharu Unimas melafazkan Ikrar Pelajar bagi Sesi 2026/2027.
Untuk rekod, kesemua mahasiswa berkenaan telah mendaftar dan menempatkan diri di kolej kediaman universiti pada 12 dan 13 September lalu.
Oleh Masrin Affirah





