MENTERI Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kanan) melakukan lawatan di ‘checkpoint’
pertama Castle of Fruits & Food Truck Fiesta oleh FAMA pada Media Tour MAHA 2022 @ Road to MAHA Zon Tengah di Laman Tiba 1 MAEPS, semalam.
SERDANG: Sembilan Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan nilai pelaburan melebihi RM4 bilion akan ditandatangani Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan pemain industri menerusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pemeteraian MoU itu akan membabitkan pemain industri dalam dan luar negara sepanjang penganjuran pameran tersebut dari 4 hingga 14 Ogos ini.
“Kita melihat sambutan daripada pihak industri dan pemain tempatan, tentu ia akan memberi satu ruang pameran expo (MAHA) yang dinantikan oleh rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini semalam.
MAHA 2022 akan dimeriahkan dengan lapan laman pertanian sebagai tarikan pengunjung iaitu Laman Perikanan, Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Herba dan Sayur, Laman Buah-buahan, Laman Nanas, Laman Jentera dan Laman Florikultur.
Beliau berkata MAHA 2022 bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ akan mengetengahkan banyak pendekatan baharu dan mekanisasi termasuk Internet benda (IoT) dan penemuan teknologi baharu dalam mempertingkatkan produktiviti.
“Ruang pameran (MAHA) akan memberi ruang kepada pemain industri kecil, sederhana dan besar untuk mempromosikan produk hiliran daripada sektor pertanian ini,” katanya.
Ronald berkata, kesemua lapan laman tersebut mempunyai tarikan tersendiri bergantung kepada minat pengunjung dalam industri pertanian.
“Bagi pengunjung yang ingin melihat sawah, mereka akan berkunjung ke laman padi dan mereka yang ingin melihat sektor perikanan, tentunya akan berkunjung ke laman perikanan,” katanya. – Bernama