Maghribi umum kerajaan baharu diterajui PM wanita pertama

Facebook
WhatsApp
GAMBAR edaran yang dirakam dan disediakan oleh Agensi Berita Maghribi, Maghreb Arabe Presse (MAP), pada 16 Oktober 2026 menunjukkan Raja Maghribi, Mohammed VI (barisan hadapan, tengah kanan), bergambar bersama Perdana Menteri Maghribi, Fatima Ezzahra El Mansouri (barisan hadapan, tengah kiri), dan anggota kerajaan yang baru dilantik di Istana Diraja di Rabat. Foto AFP

RABAT, Maghribi, 17 Oktober: Raja Maghribi, Mohammed VI, secara rasmi melantik anggota kerajaan baharu negara itu, yang buat pertama kali dalam sejarahnya diketuai oleh seorang wanita sebagai perdana menteri, Fatima Ezzahra El Mansouri.

Parti Authenticity and Modernity (PAM) pimpinan El Mansouri yang berhaluan kanan tengah mendahului pilihan raya pada September lalu sebelum membentuk gabungan dengan Parti Istiqlal berhaluan kanan serta dua parti kecil berhaluan kiri. Gabungan itu menguasai 210 daripada 395 kerusi di Parlimen.

Seramai 13 daripada 31 menteri dalam kerajaan terdahulu dikekalkan dalam kabinet baharu, termasuk Nasser Bourita sebagai Menteri Luar dan Abdelouafi Laftit sebagai Menteri Dalam Negeri.

Fouzi Lekjaa, anggota baharu PAM yang sebelum ini memegang jawatan menteri belanjawan dalam kerajaan terdahulu dan lebih dikenali sebagai ketua Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi, dinaikkan pangkat sebagai Menteri Ekonomi.

Kerajaan baharu itu turut dianggotai tujuh wanita, termasuk perdana menteri, sama seperti kerajaan sebelumnya.

Selepas menghadap raja pada Jumaat, El Mansouri menyifatkan kerajaan baharu itu sebagai “kerajaan yang mempunyai program bercita-cita tinggi dan mampu memenuhi harapan rakyat”.

Pilihan raya pada September lalu mencatatkan kadar keluar mengundi terendah dalam tempoh hampir 20 tahun, dengan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan ketidaksamaan menjadi antara kebimbangan utama.

Kerajaan baharu itu perlu menangani isu berkenaan sambil membuat persiapan bagi penganjuran bersama Piala Dunia 2030 dengan Sepanyol dan Portugal. – AFP