117 penerima di Ulu Sarikei terima surat hak milik tanah NCR

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Sri Huang Tiong Sii dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh bergambar bersama penerima surat hak milik tanah NCR. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

SARIKEI, 15 November: Seramai 117 penerima di kawasan Ulu Sarikei (Sare) menerima surat hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, melibatkan keluasan keseluruhan 85.7679 hektar.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, penyerahan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak memberikan pengiktirafan hak pemilikan tanah kepada masyarakat NCR.

Katanya, pengeluaran surat hak milik penting bagi memastikan pemilik mempunyai dokumen pemilikan yang sah, selain memberikan kejelasan mengenai sempadan tanah masing-masing.

TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menerima cenderamata daripada Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei, Sr. Awan Amal. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

“Kerajaan telah memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR sejak 2010 bagi melaksanakan pengukuran dan pengiktirafan tanah melalui dua peringkat.

“Peringkat pertama ialah pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak sebagai Rizab Komunal Bumiputera.

“Peringkat kedua ialah pengukuran lot individu dan pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.

DATO‘ Sri Huang Tiong Sii menyerahkan surat hak milik tanah NCR kepada penerima. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Ulu Sarikei (Sare), kelmarin.

Katanya, berdasarkan rekod setakat 30 September 2025, sebanyak 105,344 lot individu melibatkan keluasan 125,703 hektar telah berjaya diukur menerusi program tersebut.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 34,122 lot berkeluasan 47,443 hektar telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

Tambahnya, pengiktirafan hak milik tersebut turut memberikan manfaat kepada masyarakat NCR kerana surat hak milik di bawah Seksyen 18 tidak dikenakan cukai tanah dan premium, selain diberikan pegangan secara kekal.

“Sebagai wakil rakyat Sarikei, saya sentiasa komited untuk memastikan rakyat, khususnya masyarakat Iban, mendapat hak yang sewajarnya ke atas tanah mereka.

“Surat hak milik di bawah Seksyen 18 tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan premium dan dipegang secara kekal. Penyukatan tanah NCR pula tidak dikenakan sebarang caj dan semuanya percuma,” katanya.

Dalam pada itu, Huang menyeru pemilik tanah NCR supaya memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Tanah dan Survei bagi memastikan proses pengukuran lot individu dapat dijalankan dengan lancar.

Katanya, kerjasama itu termasuk mengenal pasti sempadan tanah dengan menyediakan rentis yang jelas, memastikan tanah bebas daripada pertikaian serta hadir ketika kerja pengukuran bersama pemilik tanah bersebelahan.

“Kepada penerima surat hak milik, saya berharap anda menggunakan tanah ini sebaik-baiknya. Janganlah kerana keuntungan jangka pendek, kita menjual tanah yang diwarisi.

“Lebih baik kita usahakan atau bangunkan tanah kita agar dapat menjana pendapatan isi rumah dan membina masa depan yang lebih baik untuk masyarakat,” katanya lagi.

Beliau turut menggalakkan pemilik tanah memanfaatkan pelbagai inisiatif serta bantuan yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak bagi menyokong usaha pembangunan tanah.

Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan terhadap usaha pengiktirafan hak milik tanah NCR.

Penghargaan turut diberikan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak serta semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan kerja pengukuran dan pengeluaran surat hak milik tanah kepada masyarakat.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong; Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sarikei, Sr. Awan Amal dan Pegawai Daerah Sarikei, Louis Yeo Soon Guan.

Oleh Earl Anek