Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • LPKP Sarawak sahkan 12 bas sekolah percuma beroperasi tanpa lesen, gesa tindakan segera
  • Selatan
  • WILAYAH

LPKP Sarawak sahkan 12 bas sekolah percuma beroperasi tanpa lesen, gesa tindakan segera

Utusan Sarawak 9 hours ago
MICHAEL Kong menggesa pengusaha bas sekolah percuma untuk memohon lesen.

KUCHING: Pengerusi LPKP Sarawak, Michael Kong Feng Nian, memaklumkan kesemua 12 bas di bawah inisiatif bas sekolah percuma bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua No. 6 masih belum memperoleh Lesen Bas Sekolah yang diperlukan.

Menurut beliau, setakat ini tiada sebarang permohonan dikemukakan kepada LPKP Sarawak bagi mana-mana bas yang terlibat dalam program tersebut, yang dilancarkan pada 12 Januari 2026 di bawah inisiatif diketuai See Chee How dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak.

“Sejak pelaksanaannya, tiada satu pun bas ini diberikan Lesen Bas Sekolah dan ia terus beroperasi tanpa kebenaran yang sah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa keperluan Lesen Bas Sekolah bukan sekadar formaliti, sebaliknya merupakan aspek penting dalam memastikan keselamatan.

Katanya, sebelum lesen diluluskan, kenderaan perlu menjalani pemeriksaan, pemandu mesti memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah serta bas dilindungi insurans mencukupi.

“Semua syarat ini adalah bagi memastikan keselamatan murid sekolah,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu kemalangan melibatkan bas tidak berlesen berlaku pagi tadi di Taman Samarindah ketika menghantar murid ke sekolah.

Menurutnya, dalam keadaan tersebut, tuntutan insurans tidak akan diluluskan kerana pengendali beroperasi secara tidak sah.

“Nasib baik tiada murid cedera parah dalam kejadian itu, namun ia jelas menunjukkan kepentingan mendapatkan lesen sebelum beroperasi,” katanya.

Michael berkata ratusan pengusaha bas sekolah di seluruh Sarawak telah mematuhi syarat ditetapkan dan hanya dibenarkan beroperasi selepas memperoleh lesen berkenaan.

Tambahnya, proses permohonan juga tidak rumit, malah sejak November 2023, LPKP Sarawak telah melaksanakan sistem ISPKP yang membolehkan permohonan dibuat secara terus tanpa pihak ketiga, sekali gus menjadikan proses lebih cekap dan telus.

“Tiada alasan untuk mana-mana pengendali dikecualikan daripada keperluan undang-undang ini. Hakikatnya, 12 bas ini telah beroperasi tanpa lesen sejak Januari 2026,” tegasnya.

Walaupun mengiktiraf usaha menyediakan pengangkutan percuma kepada pelajar, beliau menegaskan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang tidak boleh dikompromi.

Sehubungan itu, beliau menggesa See Chee How agar mengambil tindakan segera bagi memastikan semua pengendali di bawah inisiatif tersebut mengemukakan permohonan lesen tanpa berlengah.

“LPKP Sarawak akan memberi kerjasama penuh dan sebaik sahaja permohonan diterima, tindakan segera akan diambil bagi memprosesnya supaya inisiatif ini dapat diselaraskan mengikut peraturan,” katanya.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Hospital Bintulu tegas larangan merokok, pesalah boleh dikompaun RM5,000
Next: Dua jambatan rosak, 482 penduduk Long Lellang terputus akses

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.