
BINTULU: Hospital Bintulu menegaskan bahawa kawasan hospital merupakan zon larangan merokok sepenuhnya dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pematuhan.
Menurut kenyataan hospital itu, larangan berkenaan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dengan operasi pemantauan dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Bintulu di kawasan yang telah diwartakan termasuk seluruh persekitaran hospital.
“Mana-mana individu yang didapati merokok di kawasan larangan boleh dikenakan kompaun serta-merta dengan denda maksimum sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan,” katanya.
Semalam, beberapa individu telah dikenakan kompaun oleh pihak PKB atas kesalahan merokok di kawasan hospital.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya pelanggan dan pelawat diminta memberi kerjasama dengan mematuhi peraturan ditetapkan demi memastikan persekitaran fasiliti kesihatan kekal bersih dan bebas asap rokok.
Hospital berkenaan turut menggalakkan orang ramai mendapatkan bantuan berhenti merokok melalui kemudahan sedia ada termasuk di klinik kesihatan dan platform JomQuit Kementerian Kesihatan.