
MIRI: Seramai 482 penduduk daripada 165 keluarga di beberapa kampung sekitar Long Lellang terjejas selepas dua jambatan utama rosak, sekali gus memutuskan akses perhubungan ke kawasan tersebut sejak dua minggu lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, kejadian itu menjejaskan pergerakan penduduk serta penghantaran bekalan keperluan asas termasuk makanan ke kawasan terlibat.
Menurutnya, antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Long Lellang A, Long Lellang B, Ba Keramue, Long Kepang, Long Sabai, Long Main, Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lellang serta Klinik Kesihatan Long Lellang.
“Situasi ini turut memberi kesan kepada operasi harian sekolah dan kemudahan kesihatan yang bergantung kepada laluan tersebut sebagai akses utama,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, sejurus menerima makluman daripada Ketua Kampung, pihaknya segera menghubungi Pejabat Daerah Miri untuk menyelaras bantuan kecemasan termasuk penghantaran bekalan keperluan asas kepada penduduk terjejas.

Dalam pada itu, bantuan segera telah disalurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Pejabat Daerah Miri serta operasi penghantaran udara oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pengkalan Udara Wilayah Sarawak.
Sebanyak empat penerbangan dilaksanakan dalam tempoh dua hari berjaya menghantar kira-kira 8,700 kilogram bekalan bantuan ke kawasan terlibat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) turut dihubungi bagi tindakan segera membaik pulih jambatan yang rosak.
“Hasil tindakan pantas semua pihak, kerja pembaikan sementara telah siap dan jambatan kini boleh dilalui oleh kenderaan ringan,” ujarnya.
Tambah beliau, bagi penyelesaian jangka panjang, cadangan menaik taraf jalan Long Lellang termasuk pembinaan dua jambatan baharu di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) kini dalam peringkat penilaian tender.
“Projek ini dijangka dianugerahkan dalam masa terdekat dengan kerja pembinaan dijangka bermula awal Jun tahun ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk pasukan bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta sukarelawan tempatan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan kebajikan penduduk terus terpelihara walaupun berdepan cabaran lain seperti situasi kemarau di Miri.
Oleh Adum Liu