Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • LPKP Sarawak bangkitkan kebimbangan keselamatan terhadap inisiatif bas sekolah percuma
  • Selatan
  • WILAYAH

LPKP Sarawak bangkitkan kebimbangan keselamatan terhadap inisiatif bas sekolah percuma

Utusan Sarawak 7 hours ago
MICHAEL Kong Feng Nian menegaskan aspek keselamatan tidak boleh dikompromi dalam inisiatif bas sekolah percuma.

KUCHING: Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Michael Kong Feng Nian, hari ini mendedahkan beberapa isu keselamatan dan pematuhan dikenal pasti dalam pelaksanaan inisiatif bas sekolah percuma kerajaan Sarawak yang melibatkan SJK Chung Hua No. 6 dan SK Sungai Maong Hilir.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How, bagi membincangkan perkara berbangkit susulan pelaksanaan program berkenaan.

“Susulan siasatan kami, didapati lima daripada 12 bas yang kini beroperasi di bawah inisiatif ini berusia lebih 30 tahun. Mengikut dasar sedia ada, hanya kenderaan berusia sehingga 30 tahun dibenarkan beroperasi sebagai bas sekolah dan ia mesti dilesenkan sebelum mencapai usia 20 tahun,” katanya.

Kong menegaskan dasar tersebut diwujudkan bagi melindungi keselamatan murid sekolah dan pengguna jalan raya lain, sambil menambah penggunaan kenderaan yang melebihi had usia boleh mendatangkan risiko besar.

“Kita tidak boleh berkompromi dalam aspek keselamatan dengan membenarkan bas lama dan berpotensi uzur membawa pelajar setiap hari. Pengusaha telah dimaklumkan supaya menggunakan kenderaan yang lebih baharu dan selamat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan LPKP Sarawak membangkitkan isu pematuhan warna bas sekolah, dengan menyatakan bahawa di bawah Peraturan Warna dan Tanda Bas Sekolah 1987, semua bas sekolah mesti dicat warna jingga dan tertera perkataan ‘BAS SEKOLAH’ dengan jelas dalam tulisan hitam.

“Dalam semangat kerjasama, tempoh munasabah akan diberikan kepada pengusaha untuk mematuhi keperluan ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata keperluan pengusaha dan pemandu memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah turut menjadi kebimbangan.

“Ini adalah wajib di sisi undang-undang. Pada masa ini, tidak semua pengusaha dan pemandu mempunyai lesen PSV yang sah, yang membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan tuntutan insurans sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Kong berkata LPKP Sarawak akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang.

Beliau menambah, walaupun agensi itu menyokong hasrat murni menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma, terdapat keperluan asas keselamatan yang tidak boleh dikompromi.

“Had usia kenderaan dan keperluan pemandu berlesen adalah standard yang tidak boleh dirunding dan mesti dipatuhi pada setiap masa,” katanya.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Kesihatan fizikal dan minda dipupuk sejak sekolah bentuk pemimpin masa depan
Next: Program kesedaran masyarakat mengenai penyalahgunaan dadah dan buli diadakan di Bau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.