Lori pengadun simen rempuh tembok pangsapuri dipercayai akibat masalah brek di Kuching

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
LORI merempuh tembok pangsapuri.

KUCHING: Sebuah lori pengadun simen dipercayai mengalami kegagalan brek sebelum merempuh tembok sebuah pangsapuri di Lorong 7A, Stampin Tengah, pada 9.48 pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila lori berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh tembok pangsapuri tersebut.

Tiada pejalan kaki berada di kawasan berkenaan ketika kejadian, sekali gus mengelakkan berlakunya kemalangan yang lebih buruk.

Pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dipercayai masih terkejut akibat insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, telah dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

Sementara itu, dalam kenyataan terbaharu, pihak pengurusan The Ryegates memaklumkan bahawa pagar perimeter berhampiran pusat tong sampah di Ryegate 1 telah dirempuh secara tidak sengaja oleh sebuah lori besar awal pagi tadi, menyebabkan kerosakan pada pagar berkenaan.

Menurut kenyataan itu, satu laporan polis akan dibuat dan tuntutan ganti rugi akan dikemukakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Kerja-kerja pembaikan juga akan dilaksanakan secepat mungkin bagi memulihkan bahagian pagar yang rosak.

Oleh Connie Chieng