Lori muatan tanah terjun curam, pemandu tersepit

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki berusia 37 tahun tersepit namun masih sedar selepas lori muatan tanah yang dipandunya terbabas lalu terjatuh ke dalam curam di tepi Jalan Ulu Layar, Tebarong, pagi tadi. Foto: PGO Bomba Sarawak

BETONG: Seorang lelaki berusia 37 tahun tersepit namun masih sedar selepas lori muatan tanah yang dipandunya terbabas lalu terjatuh ke dalam curam di tepi Jalan Ulu Layar, Tebarong, di sini, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.22 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong tiba di lokasi pada 10.45 pagi.

Mangsa yang berusia 37 tahun itu ditemui dalam keadaan tersepit di dalam lori berkenaan, namun sedar ketika operasi menyelamat dijalankan.

Komander Operasi, PBK II Mosihi Buang memaklumkan anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa sebelum memberikan rawatan awal di lokasi,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk dibawa ke hospital berdekatan menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi yang membabitkan lapan anggota bersama sebuah jentera Unit Pemadam dan Penyelamat (FRT), pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan pacuan empat roda jenis Hilux itu tamat pada 11.17 pagi selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.

Turut membantu operasi, lapan anggota APM.

Oleh Adi Safarman