PETRA JAYA: Lokasi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) baharu di kawasan Tanjong Embang, Asajaya, dijangka akan memberi manfaat kepada ekonomi seluruh kawasan Kuching, Kota Samarahan, dan Serian.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata bahawa pembinaan Jambatan Sejingkat yang menghubungkan Kuching dengan Kota Samarahan akan merapatkan jarak antara pusat bandar dan lapangan terbang tersebut.
“Saya tidak melihat lokasinya di luar Kuching kerana saya melihatnya berada dalam kawasan lingkaran bandar Kuching, di hujung sempadan bandar raya Kuching.
“Jika kita lihat pembinaan jambatan dan sebagainya dari BCCK (Jambatan Sejingkat), ia akan menjadi sangat dekat dengan bandar raya Kuching.
“Namun, pembangunan besar-besaran seperti ini akan memberikan kesan sampingan yang memberi manfaat kepada ramai pihak, termasuk penduduk tempatan.
“Oleh itu, saya juga agak teruja dan terharu mendengar apa yang telah diumumkan oleh Premier Sarawak kerana saya tahu Tanjong Embang terletak bersebelahan dengan kawasan Semenanjung Beliong, Kampung Beliong, yang juga berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Karim juga menjelaskan bahawa projek lapangan terbang baharu dan pelabuhan laut dalam bernilai RM100 bilion yang terletak di Tanjong Embang turut menganjakkan pembangunan infrastruktur dan ekonomi Sarawak serta Malaysia.
Katanya, lapangan terbang tersebut tidak dibina di kawasan Matang kerana faktor logistik, di mana penerbangan pesawat terpaksa memasuki ruang udara Indonesia.
“Jadi, ia terpaksa dibuat di kawasan berdekatan dengan Tanjong Embang juga.
“Oleh itu, lokasi lapangan terbang dan pelabuhan laut dalam akan terletak berhampiran antara satu sama lain,” katanya.
Terdahulu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan LTAK baharu akan dibangunkan di kawasan Tanjong Embang Asajaya, bagi mengelakkan penerbangan kapal terbang memasuki ruang udara Indonesia.
Menurutnya, cadangan asal adalah untuk membangunkan lapangan terbang tersebut di kawasan Matang, namun penerbangan perlu melalui ruang udara Kalimantan, Indonesia, di mana Sarawak perlu mendapatkan kebenaran dan membayar caj tertentu.
Oleh Mohd Neenatul Aizal