Projek jalan, parit Kebun Cina Spaoh siap, penduduk nikmati kemudahan lebih selesa

Facebook
WhatsApp
NAIK taraf kemudahan jalan dan sistem perparitan di Kebun Cina Spaoh yang menggunakan peruntukan RTP telah siap sepenuhnya. Foto: Douglas Uggah Embas Official Media

SPAOH: Penduduk Kebun Cina Spaoh kini menikmati kemudahan jalan dan sistem perparitan yang lebih baik selepas projek naik taraf kedua-dua kemudahan asas itu di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) siap sepenuhnya.

Projek berkenaan memberi tumpuan kepada penambahbaikan jalan yang menjadi laluan utama penduduk selain sistem perparitan bagi membantu mengurus aliran air di kawasan penempatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penambahbaikan itu memberi kesan langsung terhadap keselesaan serta urusan harian penduduk setempat.

“Bila laluan lebih baik, penduduk lebih mudah bergerak untuk urusan harian. Pada masa sama, sistem perparitan yang baik membantu mengawal aliran air dan menjadikan kawasan penempatan lebih terurus,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, pelaksanaan projek pembangunan perlu mengambil kira keperluan sebenar masyarakat di setiap kawasan bagi memastikan peruntukan yang disediakan memberi manfaat secara langsung.

LEBIH TERATUR… Sistem perparitan yang dinaik taraf di Kebun Cina Spaoh bagi membantu mengurus aliran air dan meningkatkan keselesaan persekitaran penempatan. Foto Douglas Uggah Embas Official Media

“Kita melihat keperluan di setiap kawasan dan cuba melaksanakan perkara yang benar-benar diperlukan. Walaupun projek seperti ini tidak besar dari segi skop, manfaatnya dirasai penduduk setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tiong Hua Spaoh, Walter Chang, berkata penambahbaikan jalan dan sistem perparitan itu amat memberi manfaat kepada masyarakat setempat memandangkan kedua-duanya merupakan kemudahan asas penting di kawasan penempatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Uggah serta kerajaan Sarawak atas perhatian terhadap keperluan penduduk Kebun Cina Spaoh dan penyediaan peruntukan RTP bagi membolehkan projek berkenaan dilaksanakan.

Sesi serah siap projek yang berlangsung semalam itu turut dihadiri wakil Pejabat Residen Bahagian Betong, Ramsay Selat; wakil Pejabat Daerah Kecil Spaoh, Dalcia; wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong, Rosli Tila; Pemanca Goh Leng Thong; Kapitan Jong Koi Chian; Kaunselor Peter Lai Ngit Sin; wakil Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban serta wakil kontraktor Addeena Enterprise.

Projek yang disiapkan mengikut spesifikasi dan jadual ditetapkan itu memperlihatkan usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kemudahan asas luar bandar berdasarkan keperluan setempat.

Dengan siapnya projek berkenaan, penduduk Kebun Cina kini dapat menikmati laluan yang lebih baik serta sistem perparitan lebih teratur, sekali gus mewujudkan persekitaran penempatan yang lebih selesa.

Oleh Adi Safarman