Aaron: Perpaduan bukan sekadar toleransi, perlu dibina melalui kepercayaan

Facebook
WhatsApp
AARON.....Merasmikan pembukaan MPC2026 di salah sebuah hotel terkemuka, di Sibu hari ini.

SIBU: Perpaduan dalam masyarakat majmuk tidak boleh bergantung kepada toleransi semata-mata, sebaliknya perlu dibina melalui pemahaman, rasa hormat, kepercayaan dan kerjasama antara komuniti.

Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, kepelbagaian merupakan kekuatan Malaysia, namun perpaduan hanya dapat diperkukuh apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang bersedia membina hubungan dan berkongsi pengalaman bersama.

“Kita tidak perlu menjadi sama untuk bersatu. Kita boleh mengamalkan agama berbeza, bertutur dalam bahasa berlainan dan meraikan tradisi masing-masing, sambil berkongsi satu negara dan satu masa depan.

“Namun, kepelbagaian sahaja tidak mewujudkan perpaduan. Kepelbagaian adalah sesuatu yang kita warisi, manakala perpaduan ialah sesuatu yang kita bina,” ujarnya.

AARON….Ketika berucap pada MPC2026 di salah sebuah hotel terkemuka, di Sibu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Konvensyen Pastoral Malaysia 2026 (MPC2026) di salah sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.

Menurut Aaron, pemimpin dan komuniti agama mempunyai peranan penting dalam membina jambatan antara masyarakat, khususnya ketika negara berdepan cabaran prasangka, maklumat tidak benar dan jurang antara komuniti yang semakin mudah tersebar menerusi media sosial.

Katanya, masyarakat perlu bergerak daripada sekadar bertoleransi kepada usaha memahami antara satu sama lain, sebelum membina rasa hormat, kepercayaan dan kerjasama.

“Pemimpin agama mempunyai peranan penting kerana mereka membentuk nilai, mempengaruhi keluarga dan membimbing golongan muda.

“Mereka boleh membina jambatan ketika orang lain membina tembok,” katanya.

Beliau berkata, komuniti agama juga perlu memperluas kerjasama melangkaui dialog dengan bersama-sama membantu golongan miskin, menyokong keluarga, bertindak ketika bencana, menjaga alam sekitar serta membimbing generasi muda.

Aaron berkata, prinsip agama Kristian untuk mengasihi jiran seperti diri sendiri turut selari dengan usaha kerajaan memperkukuh perpaduan dan kohesi sosial di peringkat akar umbi.

“Perpaduan bermula dengan bagaimana kita melayan orang di sebelah kita. Sebelum kita bercakap mengenai pembinaan negara yang bersatu, kita perlu terlebih dahulu membina kepercayaan antara jiran, keluarga dan komuniti,” ujarnya lagi.

UNTUK KENANGAN….Aaron merakam kenangan selepas merasmikan pembukaan MPC2026 di salah sebuah hotel terkemuka, di Sibu hari ini.

Beliau menyifatkan MPC2026 sebagai wadah penting untuk komuniti Katolik memperkukuh iman dan persaudaraan, selain menyumbang kepada pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih harmoni, inklusif dan bersatu.

Konvensyen itu menghimpunkan kira-kira 850 umat Katolik daripada sembilan keuskupan di seluruh negara dan merupakan perhimpunan Katolik berskala nasional yang julung kali diadakan sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

Aaron berkata, tema MPC2026, ‘Raikan, Dengarkan, Melangkah Bersama’, membawa mesej yang relevan dengan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya

Katanya, tema berkenaan mengingatkan semua pihak mengenai kepentingan menghargai kepelbagaian, membuka ruang kepada dialog tulen dan memperkukuh ikatan untuk bergerak ke hadapan bersama walaupun mempunyai perbezaan.

Beliau berkata, komuniti Katolik turut mempunyai sejarah panjang dalam menyumbang kepada pembangunan negara, khususnya menerusi bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan sosial, kerja amal dan khidmat kepada golongan memerlukan.

“Kepercayaan agama, pada tahap terbaiknya, mendorong seseorang untuk berkhidmat, menunjukkan belas kasihan, bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap kesejahteraan orang lain,” katanya.

Aaron berkata, pembinaan sebuah negara bangsa yang kukuh merupakan tanggungjawab bersama dan tidak boleh dicapai kerajaan sahaja.

Menurutnya, dasar serta program kerajaan hanya menyediakan kerangka, manakala perpaduan sebenar dibina melalui hubungan, kepercayaan dan pengalaman bersama dalam kehidupan seharian.

Menjelang sambutan Hari Malaysia, beliau mengingatkan rakyat supaya menghargai tanggungjawab bersama untuk memperkukuh negara yang diwariskan oleh generasi terdahulu.

“Pengasas negara kita telah memberikan Malaysia kepada kita, dan tanggungjawab kita adalah untuk memperkukuhnya,” katanya.

Turut hadir Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau; Uskup Pulau Pinang, Yang Mulia Kardinal Dato’ Sri Sebastian Francis; Presiden Persidangan Uskup-Uskup Katolik Malaysia merangkap Uskup Agung Kuching, Reverend Dato’ Dr. Simon Poh Hoon Seng; Uskup Agung Kuala Lumpur merangkap Presiden Konvensyen Pastoral Malaysia 2026 (MPC2026), Most Reverend Julian Leow Beng Kim; Uskup Agung Kota Kinabalu merangkap Pengerusi Penganjur MPC2026, Most Reverend Datuk John Wong Soo Kau; Uskup Sibu merangkap Tuan Rumah MPC2026, Right Reverend Joseph Hii Teck Kwong; Uskup Sandakan, Right Reverend Datuk Julius Dusin Gitom serta tetamu lain.

Oleh Akun Giman