KUALA LUMPUR: Dua daripada lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Miri, Sarawak pada Selasa lepas merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan waris mereka layak menerima faedah bulanan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata waris juruterbang helikopter Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM5,355 sebulan, manakala waris pegawai perubatan Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, turut layak menerima pencen penakat bulanan.
Ramanan berkata Zainol Afiq yang berkhidmat sebagai juruterbang Rotorwing (Malaysia) Sdn Bhd mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak Januari 2018 hingga Ogos 2026.
“Oleh itu, waris Allahyarham Zainol Afiq layak menerima FOT berjumlah RM5,355 sebulan, iaitu RM3,213 kepada isterinya, Nor Izzati Syamimi Suhaimi, 31, dan RM2,142 kepada dua anak mereka.
“Isteri Allahyarham akan menerima syer pasangan seumur hidup, manakala dua anaknya, Adelia Sofia, 6, dan Ian Zayn, 1, masing-masing menerima syer hingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama,” katanya.
Beliau berkata isteri Allahyarham turut menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000.
Sementara itu, Ramanan berkata Allahyarham Dr Ainul Baraah, yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, mencarum dari Jun 2019 hingga Ogos 2024.
“Suaminya Muhammad Faiz Abdul Malik, yang merupakan seorang guru, layak menerima pencen penakat sebanyak RM1,574.10 sebulan seumur hidup dan FPM sebanyak RM3,000,” katanya.
Penyerahan bayaran FPM kepada kedua-dua keluarga mangsa dilakukan semalam di Miri.
Bagi tiga lagi mangsa iaitu Alexson Adit Henry, Jessie Paya Jok dan Debra Moset, Ramanan berkata semakan rekod caruman mendapati mereka tidak memenuhi syarat kelayakan atau tidak mempunyai caruman bagi faedah pencen berkala Perkeso.
Nahas helikopter itu berlaku ketika pesawat berkenaan membawa pasukan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), sebelum terhempas dan terbakar di penghujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport), Ulu Baram. – Bernama





