LINGGA: Kerajaan Sarawak meluluskan pembinaan loji baharu bersebelahan Loji Rawatan Air Lingga yang sedia ada bagi meningkatkan keupayaan menghasilkan bekalan air bersih sebanyak satu juta liter air sehari (MLD) apabila siap kelak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata Loji Rawatan Air Lingga itu nanti akan ditambah keupayaan dengan menggunakan sistem akut yang bernilai RM4.9 juta.
Beliau berkata projek sistem akut yang akan dilaksanakan itu adalah bagi menambah baik sistem bekalan air sedia ada dan projek bekalan air jangka panjang yang akan dilaksanakan di Bahagian Sri Aman.
“Loji Rawatan Air Lingga yang berusia lebih 30 tahun kini mempunyai keupayaan menghasil air terawat sebanyak 0.6 juta liter air sehari (MLD) tetapi mampu menghasil air terawat ke tahap 0.8 MLD.
“Memandangkan permintaan yang semakin bertambah, kerajaan Sarawak telah melulus pembinaan loji baharu di tapak sebelah loji sedia ada menggunakan sistem akut yang dapat menghasil 1.0 MLD,” katanya semasa melakukan lawatan ke Loji Rawatan Air Lingga di sini, semalam.
Julaihi berkata projek yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak itu dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.
“Projek bekalan air ini telah dirancang dengan teliti oleh kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) manakala Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat.
“Apabila siap kelak, ia akan bakal memberi manfaat besar kepada penduduk di Lingga dan kawasan di sekitarnya,” katanya.
Julaihi menambah, untuk jangka masa panjang, Lingga akan mendapat bekalan air dari Loji Rawatan Air Bayai (kini berkapasiti 53 MLD) apabila sistem grid menuju Lingga dan Pantu bakal dibina kelak.
Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Sri Aman, JBALB Sarawak katanya akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, Timbalan Setiausaha Tetap MUT Syed Fauzi Sahab, Pengarah JBALB Sarawak Ir Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan dan Pegawai Daerah Lingga Frank Lani.
Oleh Adi Safarman