Loji baharu Rantau Panjang tingkat kapasiti bekalan air, bantu atasi gangguan

Facebook
WhatsApp
RASMI… Dato Sri Haji Julaihi Narawi ketika merasmikan majlis Sistem Akut Rantau Panjang hari ini.

SIBU, 3 November: Penduduk Rantau Panjang dan kawasan sekitarnya dijangka menikmati bekalan air lebih stabil susulan siapnya pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti lima juta liter sehari (JLH) pada 5 Oktober lalu.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek bernilai kira-kira RM5 juta itu dilaksanakan sejak Mac 2026 bagi meningkatkan keupayaan sistem bekalan air sedia ada serta memenuhi peningkatan permintaan pengguna.

“Skop projek ini melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti lima juta liter sehari, pembinaan muka sauk air mentah serta pemasangan saluran paip baharu yang disambungkan kepada sistem agihan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Sistem Akut Rantau Panjang di sini, hari ini.

Menurutnya, penyediaan bekalan air bersih dan terawat merupakan antara keutamaan kerajaan Sarawak dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Bekalan air bukan sahaja merupakan keperluan asas harian, malah menjadi pemangkin penting kepada pembangunan ekonomi, kesihatan awam serta kualiti hidup masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Julaihi berkata, kerajaan negeri komited merancang dan melaksanakan projek bekalan air secara berfasa di seluruh Sarawak bagi memperluas liputan bekalan air terawat serta menambah baik sistem pengagihan sedia ada.

Katanya, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak akan terus memastikan projek-projek bekalan air yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan menerusi pemantauan rapi dari semasa ke semasa.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kementerian, agensi pelaksana, kontraktor, perunding dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap projek mencapai objektif serta memberi manfaat kepada rakyat.

Oleh Tarani Lanting