

England: Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool terus unggul di puncak selepas menewaskan pasukan tangga tercorot Southampton 3-1 awal pagi tadi.
Skuad The Reds hanya memerlukan dua penalti Mohamed Salah meletakkan Liverpool melebarkan kelebihan mereka di puncak kepada 16 mata di sebalik persembahan lesu dalam 45 minit pertama.
Susulan kemenangan 1-0 Liga Juara-Juara ke atas Paris Saint-Germain, bos Liverpool, Arne Slot hanya melakukan tiga perubahan.
Bagaimanapun, pengendali dari Belanda itu terpaksa melakukan tiga gantian selepas rehat untuk menyuntik sengat pasukan yang semakin hampir bergelar juara itu.
“Pengurus seperti memarahi kami tetapi kadang-kadang ia sesuatu yang perlu kerana babak pertama, permainan terlalu teruk,” kata Salah.
Southampton hanya meraih sembilan mata daripada 28 perlawanan sepanjang musim, namun mereka mengejutkan Anfield apabila Will Smallbone meletakkan pelawat di depan pada masa kecederaan babak pertama.
Alisson Becker adalah wira Liverpool di Parc des Princes Rabu lalu namun pemain Brazil itu dan Virgil van Dijk bertembung sesama sendiri untuk membolehkan Smallbone mudah menyepak masuk.
Slot beralih kepada Harvey Elliott, Alexis MacAllister dan Andy Robertson ketika rehat dan perubahan itu berbaloi dengan dua gol dalam tempoh tiga minit sebelum sejam perlawanan.
Darwin Nunez menyamakan kedudukan dengan penamat tajam dekat dengan gol berikutan hantaran silang Luis Diaz.
Nunez kemudian dijatuhkan dalam kotak penalti dan Salah menyempurnakan sepakan penalti itu.
Bintang Mesir itu kemudian meledak penalti kedua dua minit sebelum tamat untuk mengumpul 32 gol musim ini.
Pasukan tangga kedua Arsenal bermain kurang dua perlawanan berbanding pendahulu, pertamanya hadir menentang Manchester United di gelanggang lawan tengah malam ini.
Namun jelas kelihatan Liverpool hanya menanti masa untuk merangkul kejuaraan kedua liga dalam tempoh 35 tahun. – AFP