LONDON: Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker terpaksa berehat sehingga enam minggu akibat kecederaan hamstring, sekali gus bakal terlepas aksi menentang Chelsea dan Arsenal.
Pemain Brazil berusia 32 tahun itu cedera ketika kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace hujung minggu lalu, dan terpaksa dikeluarkan di akhir babak kedua.
Laporan media British mengatakan pemeriksaan ke atas Alisson menunjukkan dia tidak cukup cergas untuk beraksi sehingga rehat perlawanan antarabangsa bulan depan.
Dia dijangka hanya akan sedia beraksi untuk kunjungan ke Southampton pada 24 November.
Liverpool kendalian Arne Slot yang kini mendahului Liga Perdana Inggeris akan berdepan Chelsea pada 20 Oktober dan Arsenal seminggu kemudian, manakala RB Leipzig dan Bayer Leverkusen menanti dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah selepas itu.
Caoimhin Kelleher, yang terlepas aksi menentang Palace kerana masalah kesihatan, akan menggantikan Alisson seperti dilakukan musim lalu.
Selepas kemenangan di Crystal Palace, Slot menjangkakan rehat panjang buat penjaga gol nombor satunya itu.
“Kita perlu tunggu dan lihat tetapi bakal mengambil beberapa minggu sebelum dia kembali. Saya rasa ia kecederaan hamstring.
“Dia adalah penjaga gol nombor satu kami, penjaga gol terbaik dunia. Memang satu tamparan buat kami apabila dia cedera, bukan hanya untuknya tetapi juga pasukan,” kata Slot.
Liverpool kini mengumpul 18 mata daripada tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris – satu melebihi juara bertahan, Manchester City dan Arsenal. – AFP