Messi tiba di kampung halaman di Argentina selepas tewas final Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ROSARIO, Argentina: Wira bola sepak Argentina yang tewas, Lionel Messi, pulang ke kampung halamannya selepas mengalami kekalahan yang menyakitkan dalam perlawanan akhir Piala Dunia.

Kapten skuad kebangsaan itu mendarat di Lapangan Terbang Rosario dengan jet peribadi kira-kira 6.30 pagi waktu tempatan (5.30 petang Waktu Malaysia) bersama isteri dan tiga anak mereka, menurut sumber kerajaan tempatan kepada AFP dengan syarat identitinya tidak didedahkan.

Video yang disiarkan saluran sukan ESPN menunjukkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna kelabu yang membawa Messi memasuki sebuah kawasan perumahan berpagar di bandar Funes.

Rumah miliknya di kawasan pinggir bandar itu merupakan tempat beliau biasanya menginap setiap kali pulang ke Rosario, yang terletak di tengah Argentina.

Kebanyakan pemain skuad kebangsaan bersama jurulatih Lionel Scaloni tiba di Buenos Aires pada malam Isnin, dengan kehadiran mereka disambut ribuan penyokong yang bersorak, melaungkan kata-kata semangat, mengibarkan bendera serta menitiskan air mata.

Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Dunia, dengan ikon bola sepak itu tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata selepas kekalahan pada Ahad.

Bintang berusia 39 tahun itu menjaringkan lapan gol sepanjang kejohanan Piala Dunia tahun ini. — AFP