LONDON: Liverpool semakin menghampiri rekod merangkul kejuaraan liga Inggeris ke-20 apabila membelasah West Ham 5-0 seterusnya melebarkan jurang kepada lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
Luis Diaz, Cody Gakpo, Mohamed Salah, Trent Alexander-Arnold, dan Diogo Jota masing-masing menjaringkan gol untuk Reds menguasai perlawanan di London Timur yang menyaksikan mereka menamatkan tahun ini sebagai pasukan pilihan untuk meraih gelaran liga kedua dalam tempoh 35 tahun.
Prestasi Nottingham Forest yang mengejutkan musim ini menjadikan pasukan itu pencabar terdekat apabila menduduki tempat kedua liga, tetapi Arsenal dan Chelsea boleh merapatkan jurang apabila mereka beraksi nanti.
Begitupun Arne Slot berulang kali menekankan bahawa tiada apa yang pasti kerana Liverpool masih kurang satu perlawanan untuk mencapai prestasi separuh musim EPL.
Namun, pengganti Jurgen Klopp dari Belanda itu terus kelihatan sempurna selepas kemenangan ke-23 daripada 27 perlawanan dalam semua pertandingan.
“Saya sangat menikmatinya kerana tidak selalu saya boleh duduk dan menikmati perlawanan,” kata Slot.
Diaz direhatkan ketika kemenangan 3-1 ke atas Leicester pada Hari Boxing namun menjadi pemain pertama yang membuka jaringan pada minit ke-30 di Stadium London.
Mohammed Kudus hampir menjaringkan gol penyamaan apabila percubaannya terkena tiang gol.
Namun, kekalahan teruk di tempat sendiri ini menyebabkan pengurus West Ham, Julen Lopetegui, kembali berada di bawah tekanan selepas empat perlawanan tanpa kalah.
“Kita bercakap mengenai pasukan terbaik di Liga Perdana dan di seluruh dunia, tetapi di tempat sendiri dan di hadapan penyokong kami, saya sangat kesal dengan keputusan ini,” kata Lopetegui.
Dua gol dalam masa empat minit sebelum separuh masa membunuh perlawanan.
Spekulasi mengenai masa depan Alexander-Arnold, Salah, dan Virgil van Dijk tidak menghalang menghalang permulaan cemerlang Liverpool di bawah Slot. – AFP